Jamin protes tidak mudaratkan pesakit

A
A
A

SHAH ALAM - Gerakan Hartal Doktor Kontrak memberi jaminan protes secara besar-besaran yang dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi Isnin di semua pusat kesihatan seluruh negara tidak akan memberi kesan kepada pesakit.

Wakil gerakan itu, Dr Umar Baraka berkata, pihaknya mengeluarkan prosedur tertentu untuk dipatuhi pegawai kesihatan terlibat dalam menjayakan protes yang dijangka disertai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak.Menurut Umar, pihak atasan di beberapa pusat kesihatan juga bersetuju untuk membantu menyumbang tenaga bagi memastikan tiada pesakit terabai ketika protes berlangsung.

“Bagi sektor tidak kritikal, doktor akan berkumpul dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) di lobi hospital pada jam 11 pagi dan diminta untuk passover perkara penting kepada pegawai perubatan yang masih ada di wad bagi memastikan tiada pesakit yang terjejas.

“Untuk unit rawatan kritikal, pergerakan keluar hanya akan dilakukan selepas passover kepada doktor berjawatan tetap yang bertugas pada hari berkenaan.

“Work to rule dilaksanakan di sini. Jika diperlukan dan dipanggil oleh pihak atasan, semua yang terlibat diminta kembali ke stesen bertugas masing-masing,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.Beliau berkata lagi, bagi yang terlibat dalam rawatan pesakit Covid-19, Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC), Pusat Penilaian Covid-19 (CAC), Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan hospital daerah, mereka digalakkan hanya untuk melakukan solidariti dengan memegang plakat dan mengambil video untuk dimuat naik ke media sosial.

Pada Sabtu, Dr Umar berkata, Kumpulan Gerakan Hartal Doktor Kontrak menjangkakan seramai 4,000 hingga 5,000 doktor kontrak seluruh negara akan menyertai protes yang dijadualkan berlangsung Isnin.

Kata beliau, protes tersebut akan diteruskan memandangkan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung lanjutan khidmat kontrak kumpulan itu tidak memenuhi tuntutan mereka.

Artikel Berkaitan: