X

Kindly register in order to view this article
!

Kebajikan cara KKCK

A
A

KEKANGAN pergerakan dan sekatan ekonomi berpanjangan akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyebabkan ramai rakyat kita menjadi miskin. Mereka yang bekerja sendiri atau mencari upah, mungkin hilang sebahagian atau seluruh punca rezeki sekelip mata, sekali gus menjadikan mereka ‘orang miskin baharu’.

Ada pula yang dahulunya berpendapatan RM4,000 hingga RM5,000 sebulan tetapi kini tiada pendapatan namun perlu membayar ansuran pinjaman kereta, sewa rumah dan sebagainya. Alhamdulillah, kerajaan Malaysia telah diakui oleh banyak badan antarabangsa sebagai antara negara terawal yang tampil dengan pelbagai langkah segera untuk memerangi pandemik Covid-19, selain melindungi kesejahteraan rakyat dan menjaga kesinambungan perniagaan.

Pelbagai pakej rangsangan ekonomi diumumkan kerajaan untuk mengurangkan impak pelaksanaan PKP yang sudah pastinya memberi kesan ke atas setiap lapisan masyarakat, terutamanya isi rumah dalam kalangan M40 dan B40. Selain itu, pelbagai pihak dan NGO juga membantu mereka yang terkesan dengan memberikan sumbangan bahan makanan dan keperluan asas malah ada juga yang memberikan sumbangan wang.

Antara NGO yang saya kenal dan kagumi ialah Kelab Kebajikan Cakna Kelantan (KKCK). Presiden KKCK, Pui Tiong Lam, disifatkan oleh ramai orang termasuk penerima bantuan sebagai seorang insan yang ‘mudoh baso, seney kiro’ yang bermaksud orang yang sangat mesra dan sering mempermudahkan urusan orang lain.

Pada Oktober 2020, pihak KKCK dan Macma Kelantan dan beberapa NGO lain berjaya mendapatkan 360 paket darah dalam kempen derma darah di ruang legar pusat membeli-belah KB Mall sempena Sambutan Hari Penderma Darah Peringkat Negeri Kelantan. Susulan kerjasama strategik tersebut, pihak KKCK dan Macma Kelantan sering berganding bahu dalam aktiviti-aktiviti kebajikan.

Yang menariknya, walaupun sebahagian besar ahli jawatankuasa KKCK merupakan kaum Cina, majoriti penerima sumbangan ialah masyarakat Melayu di Kelantan. Atas sebab itulah semakin ramai kaum Melayu bukan sahaja turut serta dalam aktiviti kebajikan KKCK tetapi turut menjadi sebahagian ahli jawatankuasanya.

Bagi mereka yang biasa atau pernah tinggal di Kelantan, tidak pelik jika melihat hubungan rapat antara kaum, terutama antara masyarakat Cina dan Melayu. Tidak pelik melihat masyarakat Cina membantu masyarakat Melayu yang susah. Begitu juga, bukannya semua orang Cina itu kaya dan mereka turut dibantu masyarakat Melayu setempat.

Hubungan mesra antara kaum ini dapat dilihat dengan jelas dalam KKCK apabila ahli-ahlinya yang pelbagai kaum dan agama berganding bahu membantu mereka dalam kesusahan. Sebab itulah pihak KKCK amat rapat dengan Macma Kelantan dan sentiasa bersama dalam aktiviti yang dirancang mahupun aktiviti secara ad hoc.

Kewujudan NGO seperti KKCK bukan sahaja membantu kerajaan dalam mengurangkan beban mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19 kini tetapi juga membina masyarakat Malaysia yang prihatin serta bertoleransi antara satu sama lain. Saya percaya NGO-NGO lain juga seperti itu. Mereka bukan sahaja duta kebajikan tetapi duta perpaduan juga.

Terima kasih sekali lagi kepada petugas kesihatan, petugas barisan hadapan, NGO dan semua pihak yang terlibat dalam usaha menangani wabak Covid-19. Semoga pandemik ini segera berakhir dan kita semua dilindungi.

*Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap

Naib Presiden Macma Malaysia


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!