X

Kindly register in order to view this article
!

Kerajaan perlu segera tangani masalah rakyat hilang kerja

Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah rakyat yang tertekan akibat kehilangan pendapatan kesan pandemik Covid-19. - Gambar hiasan 123RF
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mengambil langkah segera bagi mengatasi masalah rakyat yang tertekan akibat kehilangan pendapatan kesan pandemik Covid-19.

Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dan Ahli Parlimen Merbok, Nor Azrina Surip dalam satu kenyataan bersama berkata, pengurangan punca pendapatan dan kehilangan pekerjaan adalah dua faktor yang ternyata memberi kesan kepada setiap isi rumah yang diketuai oleh wanita terutama golongan ibu tunggal.

Menurut mereka, berdasarkan kajian Dana Populasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNFPA) ‘Families On The Edge’ mendapati, empat daripada 10 isi rumah yang diketuai oleh wanita bergantung kepada sokongan kerajaan bagi menjana pendapatan.

Justeru, kata mereka, kadar pengangguran untuk isi rumah yang diketuai oleh lelaki adalah 25 peratus berbanding 32 peratus untuk isi rumah yang diketuai oleh wanita.

"Setakat lima bulan pertama tahun ini, terdapat 468 kes bunuh diri telah dilaporkan iaitu hampir separuh daripada jumlah keseluruhan kes yang direkodkan pada tahun 2020.

"Daripada kes yang dilaporkan, sebanyak 83.5 peratus kes bunuh diri antara tahun 2019 dan Mei 2021 adalah melibatkan wanita," kata kenyataan tersebut pada Ahad.

Menurut mereka, kelesuan akibat kehilangan kerja, tekanan perasaan dan kewangan juga dilihat menerusi 122,328 panggilan yang dibuat kepada talian psikososial Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Mercy Malaysia, Talian Kasih dan Bahagian Keluarga, Sosial dan Komuniti Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari Januari hingga Jun 2021.

"Laporan Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga mencatatkan peningkatan sebanyak sembilan peratus kes keganasan rumah tangga yang dilaporkan berbanding sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Antara punca yang ditimbulkan termasuklah disebabkan masalah kewangan, penyalahgunaan dadah dan tekanan akibat kehilangan pendapatan," kata mereka.

Sementara itu, kedua-dua ahli Parlimen itu turut berpandangan bahawa pekerja sosial memainkan peranan penting dalam memastikan individu yang rentan mendapat pertolongan.

"'Pelampung keselamatan’ sebegini amat diperlukan bagi menampung keperluan orang ramai.

"Gerakan spontan rakyat menerusi KitaJaga.co dan usaha pertubuhan bukan kerajaan (NGO) serta badan kebajikan lain melunaskan keperluan golongan yang memerlukan.

"Melihat kepada keperluan inilah yang telah mendorong kepada idea untuk mewujudkan Akta Profesion Pekerja Sosial yang dicetuskan bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, namun tidak kesampaian menerusi pertukaran kerajaan," kata mereka.

Nurul Izzah dan Nor Azrina turut mempersoalkan mengapa tanggungjawab itu tidak dilunaskan serta-merta oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat ketika ini.

"Terakhir kita dimaklumkan bahawa Rang Undang-Undang (RUU) Akta Profesion Pekerja Sosial sedang digubal setakat Mac 2021, sebelum sepi sehinggalah penantian pembukaan sesi Parlimen pada Isnin.

"Antara permulaan yang wajib diambil oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KWPKM) ialah pengenalan RUU yang mampu mengiktiraf, mengawal selia dan mengangkat status pekerja kebajikan sosial; memansuhkan Seksyen 309 Kanun Keseksaan dengan serta-merta atau sekurang-kurangnya menguatkuasakan moratorium ke atas tuduhan percubaan membunuh diri.

"Selain itu, integrasi data bantuan kebajikan sosial dan kes kelesuan pandemik lain di bawah Majlis Perlindungan Sosial Malaysia (MYSPC) demi kebajikan rakyat yang sewajibnya mendapat keutamaan oleh pentadbiran negara," kata mereka.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!