Kes harian Covid-19 melonjak kepada 17,045 hari ini

Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk di Kampung Teluk Menara, Manir pada tinjauan hari ini.
 Foto Bernama
Petugas Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu melakukan ujian saringan Covid-19 terhadap penduduk di Kampung Teluk Menara, Manir pada tinjauan hari ini.
 Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Malaysia terus menunjukkan lonjakan jumlah kes baharu Covid-19 apabila sebanyak 17,045 kes direkodkan pada Ahad sekali gus menjadi jumlah harian tertinggi di negara ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ia menjadikan keseluruhan kes positif yang dicatatkan melepasi angka satu juta iaitu 1,013,438 kes.

Menurutnya, kes kematian yang dilaporkan pula sebanyak 92 kes membabitkan 90 warganegara dan dua bukan warganegara.

Katanya, dari segi pecahan kes, Selangor terus mencatatkan angka jangkitan harian tertinggi iaitu sebanyak 8,500 kes.

"Ia diikuti Kuala Lumpur dengan 2,045 kes, Kedah (1,216), Johor (950), Sabah (818) dan Perak (609).

"Pulau Pinang pula merekodkan sebanyak 573 kes, Negeri Sembilan (513), Pahang (424), Melaka (370), Terengganu (273) dan Kelantan (266)," katanya menerusi hantaran di Facebook beliau pada Ahad.

Menurutnya, tiga lagi kawasan mencatatkan jangkitan kes dua angka iaitu Putrajaya 50 kes, Labuan (21) dan Perlis (10).

Beliau menjelaskan, daripada jumlah harian terbaharu yang dilaporkan, sebanyak 187 kes adalah daripada kategori lima iaitu pada tahap kritikal dan memerlukan bantuan pernafasan dan 124 kes kategori empat (radang paru-paru dan memerlukan bantuan oksigen).

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 122 kes lagi di kategori tiga (radang paru-paru), 7,489 kategori dua (bergejala ringan) dan 9,123 kes kategori satu (tidak bergejala).

"Keseluruhannya, 2.5 peratus kes yang dilaporkan pada Ahad berada pada kategori tiga, empat dan lima semasa baru didiagnosa, di mana ia berjumlah 433 kes yang perlu ditempatkan di hospital merawat Covid-19 yang semakin penuh dan sesak," katanya.

Dr Noor Hisham memberitahu, dengan pertambahan kes itu, kes aktif yang dilaporkan kini berjumlah 160,903 kes manakala kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) sebanyak 970 kes.

"Sebanyak 501 kes dilaporkan memerlukan bantuan pernafasan.

"Kes sembuh yang direkodkan pula berjumlah 9,683 kes menjadikan kes kumulatif sembuh 844,541 kes," katanya.

Mengenai kluster jangkitan pula, ujarnya, negara mencatatkan sebanyak 3,452 kluster dengan 34 daripadanya adalah kluster baharu.

Kata beliau, sebanyak 2,460 kluster telah tamatkan manakala jumlah kluster yang aktif sebanyak 992.