X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar UiTM raih anugerah peringkat dunia

Gambar kecil: Hannah Mumtazah
A
A

SHAH ALAM - Seorang pelajar Fakulti Perakaunan Universiti Teknologi MARA (UiTM) melakar kecemerlangan apabila tersenarai tempat pertama di dunia dalam peperiksaan program perakaunan profesional pada sesi Jun 2021.

Koordinator Komunikasi Korporat Fakulti Perakaunan, UiTM, Siti Aisyah Kamaruzaman berkata, pelajar berkenaan, Hannah Mumtazah Ahmad Murshidi,21, dianugerahkan pencapaian tertinggi bagi dua peperiksaan yang diambilnya.

Menurutnya, Hannah Mumtazah berjaya mendapat tempat pertama di Malaysia dan juga di dunia bagi peperiksaan ‘Financial Management’ (FM), manakala bagi kertas ‘Strategic Business Reporting’ (SBR), Hannah Mumtazah sekali lagi dinobatkan tempat pertama di Malaysia dan tempat kedua di dunia.

"Ini bukan kali pertama pelajar UiTM melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

"Walaupun berdepan cabaran pandemik Covid-19, Fakulti Perakaunan UiTM sentiasa komited berusaha meningkatkan bilangan akauntan bertauliah di Malaysia.

"Pihak fakulti dan UiTM berbangga dengan pencapaian pelajar di peringkat nasional dan juga antarabangsa. Diharap kejayaan ini menjadi pembakar semangat buat pelajar untuk terus cemerlang," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Sementara itu, Hannah Mumtazah yang bercita-cita untuk menjadi akauntan bertauliah berasa sangat bersyukur atas sokongan padu yang berterusan daripada ibu bapa, guru dan pensyarah.

Dia berkata, kejayaan ini menguatkan lagi semangatnya walaupun berdepan cabaran sepanjang proses pembelajaran dalam talian.

Katanya, disiplin diri dan kekuatan mental merupakan cabaran terbesar yang dihadapi.

"Pengurusan masa yang baik adalah perlu dalam memastikan sesi ulangkaji dapat diatur tanpa mengorbankan waktu untuk diri dan keluarga.

"Perbincangan bersama pensyarah dan rakan sekuliah juga merupakan kaedah yang selalu saya amalkan, selain pencapaian yang konsistensi sepanjang semester," katanya.

Tambahnya, dia meminati subjek Perakaunan sejak di bangku sekolah dan minat itu bertambah apabila ditawarkan untuk mengikuti program Jurusan perakaunan professional (JPPro).

Katanya, tempoh pengajian yang singkat dan prospek kerjaya sebagai akauntan bertauliah membuatkannya semakin yakin dengan pilihan untuk menyambung pengajian di UiTM.

"Saya masih mempunyai tiga kertas sebelum menamatkan pengajian dan mendapat kelayakan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA).

JPPro merupakan program professional yang ditubuhkan hasil kerjasama di antara Bahagian Matrikulasi Kementerian Pendidikan Malaysia (BMKPM), UiTM dan ACCA Malaysia.

Melalui program itu, pelajar boleh terus mengikuti program ACCA tanpa perlu mengikuti program Certified Accounting Technician (CAT).


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!