Pemandu teksi ditahan dipercayai pukul anak

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Seorang pemandu teksi ditahan kerana dipercayai memukul anak perempuannya yang berumur 9 tahun di rumahnya di Stulang Baru, di sini, Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Shahurinain Jais berkata, lelaki berumur 42 tahun itu ditahan selepas polis bertindak atas laporan dibuat isterinya yang berumur 40 tahun, pada hari sama.

"Punca kejadian pada kira-kira 3.30 petang, Khamis lepas itu, adalah perselisihan faham kerana isteri lelaki itu mahu menuntut cerai dengannya, namun, lelaki berkenaan tidak dapat menerimanya.

"Hal itu telah menimbulkan kemarahan lelaki tersebut, di mana dia masuk ke dalam bilik tidur dan mengambil sebatang rotan berukuran lebih kurang 60 sentimeter di atas almari lalu memanggil anak perempuannya masuk ke dalam bilik dan memukul dengan menggunakan rotan itu pada tangan kiri dan betis kiri beberapa kali," katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Shahurinain berkata, wanita berkenaan yang merupakan surirumah telah berkahwin dengan lelaki tersebut pada Ogos 2017 dan mempunyai seorang anak perempuan menerusi hasil perkahwinan tersebut.

Beliau berkata, wanita itu merupakan isteri kedua lelaki terbabit selepas lelaki itu bercerai dengan isteri pertamanya.

Katanya, anak perempuan berumur sembilan tahun dan bersekolah di Larkin, di sini, pula merupakan anak kandung lelaki berkenaan hasil perkahwinan dengan isteri pertama, dan kini di bawah jagaan lelaki itu.

"Wanita berkenaan mendakwa selepas memukul anak perempuannya, suaminya telah mengambil al-Quran dan memukulnya di bahagian kepala sebanyak tiga kali," katanya.

Artikel Berkaitan:

Shahurinain berkata, siasatan lanjut mendapati ia merupakan kali kedua anak perempuan terbabit dipukul oleh lelaki itu dengan menggunakan rotan, namun, tiada laporan polis pernah dibuat sebelum ini.

Beliau berkata, ekoran daripada kejadian tersebut, terdapat kesan kecederaan pada bahagian lengan kiri dan betis kiri anak perempuan berkenaan.

Katanya kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan/Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, hari ini untuk tindakan selanjutnya.

Lelaki terbabit akan didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru, esok. - Bernama