X

Kindly register in order to view this article
!

Pasar Awam Bahau tutup tiga hari

Kerja-kerja penutupan pasar dilakukan oleh pihak bertanggungjawab pada malam Sabtu.
A
A

JEMPOL - Pasar Awam Bahau ditutup selama tiga hari bermula Ahad berikutan terdapat kes positif Covid-19 membabitkan seorang peniaga di pasar berkenaan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Jempol (MPJL), Raja Norazli Raja Nordin berkata, penutupan pasar itu dilakukan bagi membolehkan kerja sanitasi dan pembersihan dijalankan di pasar tersebut.

"Proses sanitasi dijangka dilaksanakan pada jam 10 pagi Ahad oleh anggota bomba sebaik pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) selesai menampal notis arahan penutupan.

"Bagaimanapun, penutupan ini hanya melibatkan pasar awam dan pasar kayu bersebelahan yang terbabit dengan arahan penutupan ini manakala pasar ayam beroperasi seperti biasa," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Raja Norazli berkata, ketika ini belum ada arahan bagi peniaga dan pekerja di pasar berkenaan menjalani ujian saringan Covid-19.

"Pasar awam itu akan ditutup lebih tiga hari sekiranya ada peniaga lain turut positif Covid-19," katanya.

Pasar awam berkenaan pernah ditutup selama 14 hari pada April tahun lalu selepas seorang peniaga positif Covid-19 yang mendapat jangkitan dari kluster Pasar Borong Kuala Lumpur.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, selain pasar awam, Sinar Harian difahamkan terdapat dua lagi premis perniagaan di Bahau turut diarahkan tutup susulan terdapat kes positif Covid-19.

Perkara itu disahkan Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Jempol, Nawal Mohamed Amin yang menjelaskan dua premis itu adalah pasar raya Zemart dan pasar raya besar Lotus.

"Zemart ditutup sementara bermula Jumaat dan Lotus pada Sabtu sehingga tarikh yang akan dimaklumkan kelak.

"Penutupan kesemua premis ini adalah bertujuan membolehkan kerja sanitasi dan pembersihan dijalankan selain urusan saringan Covid-19," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!