18 individu disyaki terlibat judi 'online' kena cekup

No Image Caption
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menahan 14 lelaki dan empat wanita dipercayai terlibat dengan kegiatan judi dalam talian di tiga rumah di sekitar Muar pada dua hari lepas.

Ketua Polis Daerah Muar, Asisten Komisioner Zaharudin Rasip berkata, kesemua mereka yang berumur 21 hingga 30 tahun itu ditahan antara jam 7.35 malam dan jam 8.35 malam menerusi serbuan oleh sepasukan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Muar.

“Polis turut merampas 13 set komputer, 57 telefon bimbit pelbagai jenama serta peralatan peranti komputer yang disyaki digunakan untuk menjalankan kegiatan judi dalam talian melibatkan 12 laman sesawang itu,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, siasatan mempercayai kegiatan itu sudah dilakukan sejak tiga bulan lepas dengan mensasarkan mangsa dalam kalangan rakyat tempat dan mereka sering berpindah-randah untuk mengelakkan dikesan pihak berkuasa.

Katanya, kesemua mereka kini direman selama tiga hari bermula Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953. - Bernama

Artikel Berkaitan: