Covid-19: Ledakan kes di Selangor, KL

Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia kini melepasi 980,000. Gambar hiasan
Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia kini melepasi 980,000. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kes kumulatif Covid-19 di Malaysia melepasi 980,000.

Di peringkat global, lebih 193 juta kes dilaporkan dengan kes kematian melebihi 4 juta.

Lebih 175 juta pesakit Covid-19 dilaporkan sembuh.

Pandemik Covid-19 sudah merebak ke 216 buah negara dan wilayah.

Di Malaysia, bermula dengan tiga kes pertama yang dikesan pada 25 Januari 2020, melibatkan tiga warga China, Malaysia kini semakin hampir mencatat sejuta kes kumulatif Covid-19.

Ledakan kes harian baharu sebanyak 15,573 pada Jumaat, yang tertinggi setakat ini, melonjakkan kes kumulatif negara kepada 980,491!

Malaysia turut terbeban dengan sebanyak 147,386 kes aktif dengan kebolehjangkitan Covid-19.

Sejak pertama kali mencatat kes harian baharu lima angka pada 13 Julai (11,079 kes) dan berikutnya pada 14 Julai (11,618 kes), Malaysia terus dibebani kes harian lima angka sehingga Jumaat.

Artikel Berkaitan:

Kes harian baharu tertinggi sebanyak 13,215 sebelum ini dicatat pada 15 Julai lepas.

Rangkuman mingguan kes harian baharu yang dilaporkan adalah 17 Julai (12,528 kes), 18 Julai ( 10,710 kes), 19 Julai (10,972 kes), 20 Julai (12,366 kes), 21 Julai ( 11,985 kes ), 22 Julai (13,034 kes) dan 23 Julai (15,573).

Selangor, Kuala Lumpur (KL) dan Negeri Sembilan terus menyumbang jumlah kes harian baharu yang banyak pada Jumaat.

Selangor mencatat 7,672 kes (tertinggi setakat ini), KL 2,063 kes dan Negeri Sembilan 682 kes.

Ketiga-tiga negeri ini menyumbang sebanyak 10,417 kes atau 66.9 peratus daripada 15,573 kes harian baharu pada Jumaat.

Kluster tempat kerja paling banyak dilaporkan iaitu 106 atau 57.0 peratus daripada 186 kluster yang dilaporkan sepanjang tempoh itu.

Jumlah pesakit Covid-19 yang ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) adalah 939 orang dan 456 kes daripadanya memerlukan bantuan pernafasan.

Jumlah kes tertinggi di ICU dicatat pada 13 Julai iaitu 972 kes.

Sebanyak 144 lagi kes kematian dilaporkan hari ini, menjadikan kes kumulatif kematian meningkat kepada 7,718 kes (0.79 peratus).

Jumlah kes kematian tertinggi direkod pada 21 Julai iaitu 199 kes (173 warganegara dan 26 bukan warganegara).

Dengan 980,491 kes kumulatif, Malaysia kini di tangga 31 (tangga 32 rangkuman mingguan lepas) dalam senarai 216 buah negara yang dilanda pandemik Covid-19.

Di hadapan Malaysia ialah Pakistan (1,000,034 kes) dan Romania (1,082,057 kes).

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam paparan di Facebook beliau pada Jumaat memaklumkan, sebanyak 119 kes varian baharu virus SARS-CoV-2, kesemuanya Variant of Concern (VOC) dikesan dalam negara.

Pecahan VOC berkenaan - 106 kes varian Delta (B.1.617.2); 10 kes varian Beta (B.1.351); dan tiga (3) kes varian Alpha (B.1.1.7).

Ini menjadikan jumlah kumulatif kes yang dijangkiti oleh virus SARS-CoV-2 yang dikategorikan sebagai VOC dan VOI adalah sebanyak 429 kes iaitu 409 kes adalah VOC manakala 20 kes adalah Variant of Interest (VOI).

Secara keseluruhan, sehingga kini, bagi VOC terdapat sebanyak 206 kes varian Beta, 189 kes varian Delta dan 14 kes varian Alpha manakala bagi VOI terdapat 13 kes varian Theta, empat (4) kes varian Kappa, dan tiga (3) kes varian Eta.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam dilaporkan berkata, kelonggaran bertemu keluarga jarak jauh adalah antara perkara yang sedang diperhalusi untuk dipertimbangkan bagi mereka yang sudah lengkap menerima dua dos vaksin.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini ada menyatakan, kelonggaran bagi individu yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19 akan diputuskan pada mesyuarat Majlis Pemulihan Negara dan akan diumumkan dalam masa terdekat.

Dalam perkembangan lain, Hospital Selayang menjadi hospital ketiga di Selangor berstatus hospital merawat Covid-19 sepenuhnya, berkuatkuasa Rabu 21 Julai, selepas Hospital Sungai Buloh dan Hospital Ampang.

Info:

Rekod kluster baharu dan kluster yang berkaitan:-

17 Julai - 28 kluster baharu (kluster tempat kerja 19, kluster komuniti 6, kluster kumpulan berisiko tinggi 2 dan kluster pendidikan 1);

-kluster tempat kerja Tapak Bina Jalan Batu View (Kepong, WPKL)-141 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Tapak Bina Jalan Awan Besar (Lembah Pantai, WPKL)-270 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Industri Lot 11 Tangga Batu (Melaka) - 150 kes positif Covid-19.

18 Julai - 17 kluster baharu (kluster tempat kerja 10, kluster komuniti 5, kluster pusat tahanan 1 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 1);

-kluster pusat tahanan Tembok Tawau Dua (Tawau, Sabah) - 159 kes positif Covid-19.

19 Julai - 31 kluster baharu (kluster tempat kerja 18, kluster komuniti 8, kluster kumpulan berisiko tinggi 2, kluster pusat tahanan 2 dan kluster import 1);

-kluster tempat kerja Industri Jalan Seelong (Kulai, Johor) - 191 kes positif Covid-19.

20 Julai - 18 kluster baharu (kluster tempat kerja 13, kluster komuniti 2, kluster kumpulan berisiko tinggi 2 dan kluster pusat tahanan 1);

-kluster tempat kerja Industri Jalan haji Sirat (Selangor) - 140 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Industri Persiaran Subang (Selangor) - 107 kes positif Covid-19.

-kluster kumpulan berisiko tinggi (Pahang) - 101 kes positif Covid-19.

21 Julai - 30 kluster baharu (kluster tempat kerja 17, kluster komuniti 8, kluster kumpulan berisiko tinggi 2, kluster keagamaan 2 dan kluster pendidikan 1);

-kluster tempat kerja Lorong Bukit Enam (Cheras, WPKL) - 95 kes positif Covid-19.

22 Julai - 32 kluster baharu (kluster tempat kerja 21, kluster komuniti 7, kluster kumpulan berisiko tinggi 2 dan kluster pendidikan 2).

-kluster tempat kerja Industri Teratai (Selangor) - 255 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Industri Jalan Sungai (Selangor) - 164 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Industri Jalan Bangi (Selangor) - 159 kes positif Covid-19.

-kluster tempat kerja Tapak Bina Jalan Merah Caga (Cheras, WPKL) - 105 kes positif Covid-19

-kluster tempat kerja Dah Perusahaan Lima Industri Kulim (Kedah) - 118 kes positif Covid-19

-kluster komuniti Abu Bengang (Saratok, Sarawak) - 131 kes positif Covid-19

23 Julai - 30 kluster baharu (kluster tempat kerja 8, kluster komuniti 16, kluster pendidikan 1, kluster keagamaan 1 dan kluster kumpulan berisiko tinggi 4). - Bernama