X

Kindly register in order to view this article
!

Peletakan jawatan pegawai perubatan ada pelbagai sebab

Sidang media khas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkenaan status penularan pandemik Covid-19 di KKM hari ini. -Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman menafikan berlakunya peletakan jawatan secara beramai-ramai oleh pegawai perubatan kontrak di negeri itu akibat tertekan dengan situasi Covid-19 yang melanda negara.

Beliau sebaliknya berkata, daripada Januari lalu hingga kini, jumlah pegawai perubatan yang meletak jawatan hanya seramai 162 orang.

Menurutnya, perkara itu berpunca daripada pelbagai faktor lain; antaranya mendapat tawaran yang lebih baik dan keputusan untuk menukar karier.

“Ada antara mereka yang berkhidmat untuk mewarisi klinik keluarga. Kemudian ada yang menukar kerjaya. Terdapat pegawai perubatan yang saya temui telah berkhidmat sebagai jurufoto kerana sudah tidak minat untuk menjadi pegawai perubatan.

ARTIKEL BERKAITAN: 119 kes varian baharu VOC dikesan

“Ada yang minat untuk berada di kedai komputer. Dia kata kedai komputer tiga kali ganda pendapatan daripada apa yang mereka dapat sekarang.

“Maksudnya terdapat bermacam sebab kenapa pegawai perubatan meninggalkan perkhidmatan kontrak yang ada sekarang,” katanya ketika sidang media secara maya pada Jumaat.

Pada Selasa, media melaporkan sebuah gerakan dengan nama kumpulan Hartal Doktor Kontrak memulakan kempen mogok dan pemberian notis peletakan jawatan 24 jam oleh pegawai perubatan kerana kepenatan dan kecewa dengan kekurangan peluang kerjaya.

Antara alasan diberikan dalam notis peletakan jawatan yang turut dikongsikan di sosial media ialah masih belum mendapat jawatan tetap, tidak layak mengambil ijazah sarjana dan masa depan tidak jelas.

Sementara itu, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Mohd Shafiq Abdullah berkata, beliau juga tidak melihat berlakunya sebarang trend yang tinggi dalam isu peletakan jawatan oleh pegawai perubatan di Lembah Klang.

“Dari data yang kita ada, sejak tahun 2014 hingga 2020, pegawai perubatan yang meletak jawatan ialah lebih kurang kurang 600 orang. Antara sebabnya juga adalah sebagaimana yang disebut oleh Dr Sha’ari tadi.

“Jadi kita tidak nampak trend yang tinggi. Kita berpandangan pegawai perubatan ini akan sentiasa setia dengan perkhidmatan, apatah lagi dalam keadaan pandemik ketika ini.

“Jadi kita harapkan tawaran baharu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan memberi satu harapan untuk kita teliti semula dan kaji mengenai jawatan tetap dan sebagainya,” jelas beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!