Penangan nasi ganja, ambil pesanan guna helikopter

Kehadiran sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh pada pagi Jumaat dipercayai bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja. -Foto: Astro Awani
Kehadiran sebuah helikopter mendarat di Padang Ipoh pada pagi Jumaat dipercayai bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja. -Foto: Astro Awani
A
A
A

IPOH - Penangan nasi ganja hingga ada yang sanggup mengambil pesanan menggunakan helikopter.

Itu yang berlaku di Padang Ipoh, dekat sini pada Jumaat apabila sebuah helikopter dikesan mendarat bagi mengambil pesanan 36 bungkus nasi ganja dari sebuah kedai nasi kandar terkemuka di bandar raya ini.

Kehadiran sebuah helikopter dinaiki dua lelaki yang membuat penerbangan dari Kuala Lumpur dipercayai milik syarikat swasta itu mengejutkan orang ramai sebaik mendarat di padang terbabit sekitar jam 9.55 pagi.

Jurucakap perniagaan nasi ganja itu yang enggan namanya disiarkan mengesahkan menerima tempahan 36 bungkus nasi berlauk ayam, daging, telur masin dari pelanggan di Kuala Lumpur.

Pada awalnya dia meragui sama ada tempahan itu benar atau gurauan kerana diberitahu pesanan akan diambil menggunakan sebuah helikopter.

"Saya ragu-ragu juga kerana tidak pernah ada pelanggan yang mengambil tempahan dengan menaiki helikopter.

"Namun saya terkejut kerana rupa-rupanya tempahan makanan itu memang benar diambil menggunakan helikopter," katanya.

Menurutnya, ini adalah kali pertama tempahan diambil menggunakan helikopter dan disifatkan sebagai pesanan paling mewah.

Artikel Berkaitan:

"Walaupun begitu, saya tetap caj makanan pada harga jualan yang sama iaitu RM10 setiap bungkus," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata, semakan dengan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) Ipoh, mendapati helikopter tersebut mendapat kebenaran untuk mendarat di Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh sahaja.

Bagaimanapun katanya, helikopter tersebut dikesan telah mendarat di Padang Ipoh pada jam antara 9.55 hingga 10.15 pagi ini.

"Helikopter tersebut tidak mendapat kebenaran mendarat di Padang Ipoh. Kita sudah salurkan info ini kepada pihak CAAM Ipoh," katanya.