Cabutan bertuah boleh jadi haram jika ada unsur judi, eksploitasi pengguna - Mufti Terengganu

Syed Hadzrullathfi menjawab soalan mengenai hukum penyertaan dalam program cabutan bertuah yang dikemukakan JHEAT.
Syed Hadzrullathfi menjawab soalan mengenai hukum penyertaan dalam program cabutan bertuah yang dikemukakan JHEAT.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Penyertaan dalam program cabutan bertuah boleh bertukar menjadi haram sekiranya proses pelaksanaannya mengandungi unsur perjudian, penipuan atau eksploitasi terhadap pengguna.

​Mufti Terengganu, Profesor Dr Syed Hadzrullathfi Syed Omar menjelaskan, hukum asal menyertai aktiviti tersebut bukanlah diharamkan secara mutlak, sebaliknya ia tertakluk kepada kaedah pelaksanaan yang wajib mematuhi prinsip syariah.

​Menurut beliau, sekiranya peserta diwajibkan membayar yuran tambahan, membeli kupon khas atau menanggung kos tertentu semata-mata untuk melayakkan diri memenangi hadiah, ia berpotensi mengandungi unsur perjudian (maysir) yang dilarang Islam.

​"Sesuatu cabutan bertuah hendaklah bebas daripada unsur perjudian, ketidakpastian melampau (gharar), penipuan (ghish), eksploitasi pengguna serta pengambilan harta secara batil.

​"Perkara sama (haram) turut berlaku sekiranya harga sesuatu produk dinaikkan secara tidak munasabah oleh pihak penganjur bagi membiayai hadiah yang ditawarkan kepada peserta," katanya menerusi satu surat rasmi.

​Surat rasmi berkenaan dikeluarkan bagi menjawab pertanyaan awam berhubung trend semasa penganjuran cabutan bertuah, termasuk yang dilaksanakan secara meluas menerusi platform digital ketika ini.

​Mengulas lanjut, Syed Hadzrullathfi menjelaskan amalan tersebut hanya diharuskan syarak sekiranya penyertaan tidak melibatkan sebarang bayaran tambahan, selain harga produk atau perkhidmatan yang dijual kekal pada harga pasaran sebenar.

​Pada masa sama, katanya, pembelian produk berkenaan tidak boleh dijadikan tujuan utama semata-mata untuk memenangi hadiah, manakala sumber dana bagi penyediaan hadiah pula mestilah datang daripada sumber yang sah.

​"Semua terma dan syarat penyertaan juga perlu dinyatakan secara jelas, telus dan adil bagi mengelakkan sebarang keraguan dalam kalangan pengguna.

Artikel Berkaitan:

​"Semua program cabutan bertuah khususnya melibatkan promosi digital dan pemasaran semasa perlu dinilai berdasarkan struktur pelaksanaannya, sumber pembiayaan hadiah serta syarat penyertaan," katanya.

​Sehubungan itu, beliau berpandangan satu garis panduan khusus mengenai pelaksanaan cabutan bertuah patuh syariah perlu diperluaskan kepada masyarakat dan penganjur bagi memastikan aktiviti promosi tidak bercanggah dengan hukum syarak.

​Sebagai panduan lanjut, Jabatan Mufti Negeri Terengganu turut merujuk kepada Garis Panduan Berasaskan Hadiah yang diperakukan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Kali Ke-84 untuk pemahaman masyarakat.

​Beliau turut mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan tawaran hadiah lumayan tanpa meneliti syarat penyertaan terlebih dahulu bagi mengela daripada terjebak dengan amalan haram.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!