Penduduk Taman Desa ancam saman DBKL isu skim kawalan kejiranan

KUALA LUMPUR - Persatuan Penduduk Taman Desa Fasa 1 (TDP1RA) mengancam mengambil tindakan undang-undang terhadap Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) jika agensi itu meneruskan tindakan menutup Skim Kawalan Kejiranan yang beroperasi sejak 15 tahun lalu.
Presidennya, Frank Yeh, berkata, pihaknya sudah menyerahkan memorandum bantahan kepada Datuk Bandar Kuala Lumpur pada Isnin bagi membantah tindakan Jabatan Pengangkutan Bandar (JPB) DBKL yang didakwa mahu menutup skim berkenaan secara unilateral.
Menurutnya, tindakan itu menimbulkan kebimbangan kerana boleh menjejaskan aspek keselamatan hampir 1,000 penduduk di kawasan berkenaan.
"Kami berpandangan tindakan JPB DBKL dibuat tanpa mengambil kira suara majoriti penduduk yang selama ini menyokong skim kawalan kejiranan terbabit.
"Jika DBKL terus bertindak secara unilateral dan gagal memberi maklum balas bertulis yang adil terhadap tuntutan kami, TDP1RA tidak teragak-agak memfailkan semakan kehakiman serta tindakan undang-undang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Frank berkata, kemelut itu bermula selepas persatuan memohon pelarasan laluan keselamatan susulan kemalangan maut membabitkan seorang warga emas di Jalan Desa Ria pada 2024.
Katanya, walaupun pihak persatuan sudah memperoleh surat sokongan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), DBKL didakwa beberapa kali menukar pendirian selain menangguhkan mesyuarat berkaitan isu itu.
Beliau turut mendakwa terdapat lawatan tapak oleh pegawai DBKL tanpa memaklumkan kepada persatuan, selain berlaku percanggahan maklumat menyebabkan pemasangan bekalan elektrik di Pos 4 tertangguh.
Menurutnya, skim kawalan kejiranan yang menggunakan CCTV, RFID dan palang automatik itu didakwa berjaya menurunkan kadar jenayah di kawasan itu ke tahap hampir sifar sejak diperkenalkan pada 2012.
"Sebanyak 81 peratus pemilik rumah menyokong skim itu dengan membayar yuran tahunan serta sumbangan menaik taraf sistem keselamatan membabitkan kutipan RM483,531 setakat 1 Mac lalu," ujar beliau.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

