Tiga wakil pembangkang tolak darurat diteruskan

Nik Muhammad Zawawi
Nik Muhammad Zawawi
A
A
A

SHAH ALAM – Ahli Parlimen Pasir Puteh, Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh mendedahkan tiga orang wakil pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Khas Bebas Darurat 2021 menolak darurat diteruskan selepas 1 Ogos.

Beliau yang juga salah seorang ahli dalam jawatankuasa itu mendakwa, wakil pembangkang yang menganggotai jawatankuasa terbabit juga kadangkala tidak membincangkan masalah Covid-19 sebaliknya mempertikai mengenai pembukaan Parlimen.

“Dalam jawatankuasa darurat kadang-kadang tidak bincang masalah Covid-19, (tetapi) pertikai (berkenaan pembukaan) Parlimen.

“(Bila) buat pengundian adakah darurat ini perlu diteruskan akhir sekali yang tinggal pembangkang tiga orang sahaja dalam jawatankuasa ramai-ramai (menyokong),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-275 bertajuk, Buka Parlimen: Kuasa atau Rakyat yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Khamis.

Wacana tersebut turut menampilkan Ketua Pembangkang DUN Perak, Dr Abdul Aziz Bari; Ketua Pemuda Pejuang, Dr Abu Hafiz Salleh Hudin dan Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof, manakala Ismail Adnan bertindak sebagai moderator.

Tiga orang wakil pembangkang yang menjadi ahli dalam jawatankuasa itu melibatkan Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Ahli Parlimen Kuala Selangor, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Nik Muhammad Zawawi menambah, selain wakil pembangkang, terdapat juga pengarah kesihatan, pengarah keselamatan, pengarah bahagian ekonomi yang menjadi ahli dan mereka berkongsi maklumat di dalam jawatankuasa berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, beliau yang juga Ketua Dewan Ulamak Pas turut menyifatkan bahawa pengurusan Covid-19 negara ini adalah antara yang terbaik di dunia.

“Secara jujurnya saya sebut bahawa dalam negara kita kalau bertukar kerajaan saya yakin tidak ada kerajaan yang lebih baik berbanding dengan hari ini, tidak ada.

“Kalau kita nak kata si polan bin si polan dia sudah memerintah sebelum ini. Jangan nak kata tangani Covid-19, nak tangani orang miskin pun tidak mampu,” katanya.

Tegasnya, kerajaan Perikatan Nasional (PN) juga adalah sebuah kerajaan yang kali pertama dalam negara ini melakukan semak dan imbang membabitkan pembangkang dan kerajaan.

“Secara adilnya saya sebut itu adalah kerajaan yang pertama. Tengok bantuan peruntukan untuk menangani Covid-19 tidak pernah berlaku hatta zaman kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang lepas kita tengok bantuan untuk rakyat miskin, nelayan dan petani dipotong peruntukan,” katanya.