X

Kindly register in order to view this article
!

Picagari kosong, jururawat mengaku cuai kerana keletihan: Khairy

Khairy Jamaluddin - Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Sebanyak 13 laporan polis berhubung isu vaksinasi dibuat oleh orang ramai.

Bagaimanapun Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, isu itu tidak mempunyai kaitan dengan sindiket penjualan janji temu vaksinasi.

"Ada kes yang disiasat berhubung penjualan vaksin tetapi polis telah maklumkan kepada saya bahawa setakat ini tiada kaitan dengan kes vaksinasi," katanya pada sidang akhbar perkembangan PICK, di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.

Menurutnya, di antara laporan polis berkenaan, terdapat kes suntikan kosong tanpa vaksin dan ketidakpastian petugas dalam pemberian vaksin.

"Bagi kes suntikan kosong tanpa vaksin, ia berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Kem Lapangan Terbang Sungai Petani yang mana jururawat mengaku telah berlaku kecuaian disebabkan keletihan yang dihadapinya," katanya.

Beliau berkata, surat amaran telah diberikan kepada jururawat tersebut oleh Panglima Tentera Darat disebabkan jururawat itu bertugas di kem tentera.

"Jururawat berkenaan juga akan melalui proses tatatertib di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia," katanya.

Khairy berkata, dua kes ketidakpastian dalam pemberian suntikan vaksin dikesan di PPV Banting, Selangor dan Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC).

"Dos tambahan telah diberikan kerana berlaku sedikit kekeliruan daripada petugas kesihatan sama ada dos yang diberikan sempurna atau tidak," katanya.

Menurutnya, terdapat juga laporan polis dibuat penerima vaksin susulan tidak mempunyai sebarang kesan sampingan selepas mendapatkan suntikan.

"Saya nak beritahu, kesan sampingan vaksin adalah berbeza bagi setiap individu.

"Saya sendiri tidak mendapat apa-apa kesan sampingan daripada vaksinasi tetapi oleh kerana suntikan dibuat secara langsung dan dipaparkan, saya rasa tidak ada tuduhan vaksin kosong.

"Ada yang dapat vaksin terima kesan sampingan dan ada yang tidak merasa kesan sampingan," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!