Bukit Aman kesan taktik baharu penipuan pembayaran bil utiliti

Mohd Kamarudin
Mohd Kamarudin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman mengesan modus operandi jenayah baharu yang memanipulasi sistem pembayaran bil utiliti untuk memperdaya mangsa.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Bukit Aman, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, dalam kes yang dilaporkan, sindiket penipuan akan menghubungi mangsa yang mempunyai tunggakan bil utiliti dan menawarkan diskaun sekiranya mangsa membenarkan mereka untuk melunaskan bayaran tunggakan itu.

"Sindiket memaklumkan akan mendahulukan wang mereka dalam urusan tersebut dan mendakwa resit bayaran akan digunakan oleh pihak mereka untuk mendapatkan pengecualian cukai.

"Setelah mendapat persetujuan mangsa, sindiket akan menggunakan cek-cek yang tiada nilai (cek tendang) untuk membuat pembayaran melalui mesin deposit milik penyedia perkhidmatan utiliti," katanya melalui kenyataan pada Jumaat.

Mohd Kamarudin berkata, setelah pembayaran dibuat, sistem penyedia perkhidmatan akan memaparkan rekod bahawa bayaran bil telah dibuat.

"Sindiket kemudiannya akan meminta mangsa membuat pindahan wang kepada pihak mereka melalui akaun bank milik pihak ketiga.

"Mangsa hanya akan sedar telah ditipu apabila pihak penyedia perkhidmatan gagal menunaikan cek-cek yang dimasukkan itu," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, satu laporan polis telah diterima di Kuala Lumpur pada Julai melibatkan kerugian berjumlah RM8,500.

Artikel Berkaitan:

"Kes masih dalam siasatan dan kita menggesa orang ramai yang mungkin telah menjadi mangsa penipuan sindiket ini untuk tampil membuat laporan polis di mana-mana balai polis berhampiran," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamarudin turut memberikan beberapa tips yang boleh dipraktikkan orang ramai bagi mengelakkan diri dari menjadi mangsa penipuan kes-kes sebegini.

Katanya, orang ramai dinasihatkan agar tidak melayani sebarang panggilan dari nombor yang tidak dikenali, selain segala pembayaran bil utiliti hendaklah dibuat secara terus kepada penyedia perkhidmatan yang sah.

"Gunakan portal semakmule (htps:/semakmule.rmp.gov.my) untuk membuat semakan kesahihan nombor telefon dan nombor akaun bank yang diragui.

"Orang ramai juga boleh menghubungi CCID scam response centre melalui talian 03-26101559/ 1599 sekiranya mempunyai sebarang keraguan mahupun maklumat berkenaan aktiviti jenayah komersil," katanya.