Taktik baharu scammer tipu guna jemputan kahwin

Taktik baharu digunakan pihak scammer untuk menipu dan memperdaya orang ramai menerusi helah kad jemputan kahwin yang disebar luas di aplikasi WhatsApp. - Gambar kecil: Ramli
Taktik baharu digunakan pihak scammer untuk menipu dan memperdaya orang ramai menerusi helah kad jemputan kahwin yang disebar luas di aplikasi WhatsApp. - Gambar kecil: Ramli
A
A
A

SHAH ALAM - Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengingatkan orang ramai untuk tidak membuka atau melayan mana-mana mesej atau hantaran meragukan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, pelbagai taktik baharu dilakukan pihak scammer bagi memperdaya orang ramai.

Beliau berkata, pihaknya mengesan taktik terbaharu scammer menerusi hantaran jemputan majlis perkahwinan yang disebar melalui aplikasi WhatsApp.

"Taktik baharu itu meminta orang ramai untuk melakukan 'klik' (tekan) pada link yang disediakan bagi mendapatkan kad jemputan kahwin.

"Namun itu satu helah dan cara scammer untuk mencuri maklumat daripada orang ramai, seterusnya membuat pemindahan wang secara dalam talian.

"Untuk itu, orang ramai sebaiknya cuba elakkan daripada terjebak dengan sebarang mesej yang diragui puncanya," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Baru-baru ini tular di aplikasi WhatsApp berhubung satu hantaran jemputan perkahwinan yang meminta orang ramai untuk membuat 'klik' pada link disediakan.

Namun ia satu helah licik pihak scammer mendapatkan maklumat dan membuat pengeluaran secara dalam talian tanpa disedari oleh pemilik akaun.

Mengulas lanjut, Ramli berkata, taktik menipu orang ramai dengan cara baharu menerusi aplikasi WhatsApp sememangnya wujud.

Jelas beliau, taktik yang digunakan oleh pihak scammer itu menggabungkan semua pihak yang saling mengenali antara satu sama lain dengan tujuan memberi 'respond' kepada link yang disediakan.

"Modus operandi taktik baharu ini adalah melibatkan penggunaan data group atau contact list.

"Oleh itu, PDRM meminta semua pihak dan orang ramai untuk sama sekali jangan respond kepada link yang diberikan di dalam aplikasi WhatsApp," ujar beliau.