Ketatkan SOP perkhidmatan feri

Keadaan feri penumpang yang terbakar hampir 80 peratus, semalam. -Foto ehsan JBPM Langkawi
Keadaan feri penumpang yang terbakar hampir 80 peratus, semalam. -Foto ehsan JBPM Langkawi
A
A
A

ALOR SETAR - ADUN Kuah, Mohd Firdaus Ahmad mencadangkan agar Jabatan Laut dan agensi berkaitan memperketatkan prosedur operasi standard (SOP) perkhidmatan feri.

Menurutnya, ini kerana kes feri terkandas mahupun mengeluarkan bau minyak dan enjin berasap bukan pertama kali berlaku, sebaliknya sering berulang.

Katanya, sudah tiba masanya SOP dan peraturan diperketatkan bagi mengelak kejadian berulang.

“Saya sendiri sering berulang alik menggunakan feri dari Langkawi ke Alor Setar, memang ada aduan bau minyak yang kurang menyenangkan, diharap agensi berkaitan lakukan siasatan terperinci demi keselamatan dan keselesaan penumpang,” katanya.

Mohd Firdaus berkata, beberapa aspek keselamatan perlu dikaji semula, antaranya menetapkan usia penggunaan sesebuah feri, serta penyediaan bot sokongan kerana ia melibatkan nyawa.

“Apa yang berlaku merupakan petanda awal, sudah tiba masa SOP ditambah baik agar lebih efektif, kerana jika kita terus ambil sikap lewa, tak mustahil berlaku kejadian lebih dahsyat,” katanya.

Foto ehsan JBPM Langkawi
Foto ehsan JBPM Langkawi

Menurutnya, aspek keselamatan tidak wajar diambil mudah, terutama ketika berada di tengah lautan.

Artikel Berkaitan:

“Jika sekalipun feri itu berusia setahun, ia juga wajar dilakukan pemeriksaan terperinci sebelum berlepas, aspek keselamatan harus diberi keutamaan. Apatah lagi jika feri melepasi usia 20 tahun, wajar menjalani pemeriksaan lebih kerap,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Feri bawa penumpang di Langkawi tiba-tiba terbakar

Semalam, seramai 52 penumpang dan tujuh kru berdepan detik mencemaskan apabila feri dinaiki mereka terbakar secara tiba-tiba selepas 10 minit bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang itu, feri penumpang terbabit dalam perjalanan dari Pulau Langkawi menuju ke Kuala Perlis sebelum terbakar. Komander Operasi Zon 4, Timbalan Penguasa Bomba Johari Mohd Lazim mengesahkan pihak bomba menerima laporan kira-kira jam 2.48 petang berhubung kebakaran feri itu.