Buruh mengaku salah memandu secara cuai, langgar SJR

Tertuduh mengaku salah bagi ketiga-tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.
Tertuduh mengaku salah bagi ketiga-tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang buruh yang ditahan memandu dalam keadaan melulu sejauh 42 kilometer selepas merempuh satu sekatan jalan raya (SJR) di sini, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kuala Terengganu pada Khamis.

Tertuduh, Chew Chong Teck, 45, dari Taman Sinn, Semabok, Melaka yang berdepan tiga pertuduhan memandu secara cuai dan melanggar SJR sehingga menyebabkan kecederaan kepada pengguna jalan raya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam itu mengaku salah bagi ketiga-tiga pertuduhan sejurus dibacakan di hadapan Majistret Noor Mazrinie Mahmood.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa tidak mematuhi arahan pihak polis untuk berhenti di SJR Bukit Jong, di sini kira-kira jam 11.30 pagi, pada 17 Julai lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 26(2) Akta Polis 1967 dan jika disabitkan kesalahan tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 12 bulan atau denda sejumlah RM1,000.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh turut didakwa melakukan perbuatan khianat dengan melanggar papan tanda SJR di lokasi dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Mengikut pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 279 Kanun Keseksaan kerana memandu dengan gopoh di lokasi dan masa yang sama.

Artikel Berkaitan:

Bagi kesalahan itu, jika disabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Sejurus pengakuan salah tertuduh direkodkan, mahkamah mengarahkan agar tertuduh dihantar untuk menjalani ujian psikiatri di Hospital Permai di Tampoi, Johor Bahru.

Mahkamah menetapkan 30 ogos depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Asisten Superintendan Mohd Ridhuan Mohina Din.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan polis berjaya menahan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan melulu dipercayai pesakit mental sejauh 42 kilometer selepas merempuh satu SJR, di sini.

ARTIKEL BERKAITAN: Rempuh SJR sejauh 42 km, polis tahan pemandu sakit mental