X

Kindly register in order to view this article
!

Rempuh SJR sejauh 42 km, polis tahan pemandu sakit mental

A
A

KUALA TERENGGANU- Polis berjaya menahan seorang lelaki yang memandu dalam keadaan melulu dipercayai pesakit mental sejauh 42 kilometer selepas merempuh satu sekatan jalan raya (SJR) di sini, kira-kira jam 12.15 tengah hari, pada Khamis.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzukhi Mohd Mokhtar berkata, lelaki berusia 45 tahun dari Melaka sebelum itu dikatakan merempuh SJR di Kampung Bukit Jong, di sini pada jam 11.30 pagi.

Katanya, semasa melarikan diri, lelaki yang memandu kereta Honda City biru dalam keadaan berbogel itu nekad melanggar 13 lampu isyarat dan beberapa kenderaan orang awam sebelum berjaya ditahan di jalan Kuala Berang berhampiran lampu isyarat Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu.

"Sebelum insiden tersebut, anggota yang terlibat di lokasi sedang menjalankan tugas pemeriksaan kenderaan sebelum dikejutkan dengan kehadiran sebuah kereta yang melanggar papan tanda 'laluan frontliner' dan seterusnya merempuh SJR.

"Suspek dikatakan memecut kenderaannya menghala ke bandar Kuala Terengganu selepas menyedari dikejar kereta peronda sektor Balai Chabang Tiga, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD), di sini, yang sedang membuat rondaan Ops Covid-19.

"Suspek langsung tidak mengendahkan arahan berhenti yang diberikan polis sebanyak tujuh kali sebaik kenderaannya melalui persimpangan lampu isyarat Jalan Tuanku Mizan berhampiran Perpustakaan Awam Negeri sebelum menghala ke persimpangan lampu isyarat Bukit Besar," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Suspek dipakaikan kain batik untuk sementara semasa di lokasi. - Foto ihsan polis
Suspek dipakaikan kain batik untuk sementara semasa di lokasi. - Foto ihsan polis

Menurutnya, semasa proses tangkapan dilakukan, berlaku pergelutan kerana suspek bertindak agresif.

Akibat daripada itu, suspek cedera ringan iaitu luka-luka kecil pada bahagian muka dan dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan.

Susulan insiden itu, berlaku tiga kemalangan melibatkan sebuah kereta dan dua buah motosikal.

Katanya, kemalangan pertama membabitkan sebuah kereta dipandu seorang wanita di persimpangan lampu isyarat Kampung Kubang Parit, di sini manakala kemalangan kedua membabitkan sebuah motosikal ditunggangi seorang lelaki.

Tambah beliau, kemalangan ketiga berlaku di KM 30, Jalan Kuala Terengganu-Bukit Besi berhampiran Kampung Bukit Perah, Ajil, Hulu Terengganu selepas kenderaan dipandu suspek melanggar SJR di Batu 18 Ajil, Hulu Terengganu.

"Kesemua mangsa yang terlibat dihantar mendapatkan rawatan susulan di Hospital Hulu Terengganu.

"Semakan di Bahagian Rekod Hospital Hulu Terengganu juga mendapati suspek menghidap skizofrenia dan disahkan oleh pegawai perubatan hospital tersebut," katanya.

Kes kini disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 279 Kanun kerana memandu dalam keadaan gopoh dan cuai sehingga menyebabkan kecederaan dan Seksyen 24 Akta Polis.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!