Syed Saddiq tak mengaku pecah amanah, salah guna sumbangan PRU14

Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas dakwaan penyelewengan dana melebihi RM1 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Syed Saddiq ketika hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur atas dakwaan penyelewengan dana melebihi RM1 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
A
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan pecah amanah dan salah guna sumbangan Kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 berjumlah RM1.12 juta, pada 2018 dan 2020 lalu.

Syed Saddiq, 29, yang juga Ahli Parlimen Muar, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq sebagai Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Armada) telah diamanahkan dengan penguasaan terhadap dana Armada, melakukan pecah amanah jenayah ke atas dana tersebut.

Ia di mana tertuduh dengan curangnya membuat pengeluaran tunai berjumlah RM1 juta melalui cek CIMB Bank Berhad tanpa mendapat kebenaran daripada Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu.

Kesalahan didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB Kuala Lumpur Sentral, pada 6 Mac 2020.

Atas pertuduhan itu, Syed Saddiq didakwa mengikut Seksyen 405 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 406 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa dengan curangnya, menyalahgunakan harta sumbangan Kempen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 sebanyak RM120,000 yang dikutip melalui Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise.

Kesalahan didakwa dilakukan di Maybank Islamik Berhad, Jalan Pandan, Taman Pandan Jaya, di sini antara 8 hingga 21 April 2018.

Artikel Berkaitan:

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih dari lima tahun dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua pertuduhan dikendalikan oleh Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah dan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Gobind Singh Deo dan Haijan Omar.

Ibu dan bapa Syed Saddiq turut hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi mengikuti kes anak mereka yang didakwa melakukan penyelewengan dana melebihi RM1 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB
Ibu dan bapa Syed Saddiq turut hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Khamis bagi mengikuti kes anak mereka yang didakwa melakukan penyelewengan dana melebihi RM1 juta. - FOTO SINAR HARIAN/ROSLI TALIB

Semasa prosiding, Faridz Gohim mencadangkan ikat jamin bagi kesalahan pecah amanah adalah sebanyak RM500,000 manakala salah guna sumbangan PRU14 sebanyak RM300,000 dengan masing-masing seorang penjamin.

Menurutnya, tertuduh juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan iaitu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di pejabat SPRM berdekat.

“Pihak kami mengulangi keperluan supaya tertuduh dikenakan ikat jamin pada kadar tinggi sesuai dengan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen Muar, maka selaku ahli politik yang berpengaruh, tidak dinafikan wujud risiko untuk melarikan diri atau peluang mengganggu saksi pendakwaan.

"Selain itu, tertuduh juga dilarang untuk membuat sebarang komen terbuka mengenai pertuduhan kes ini," katanya.

Bagaimanapun, Gobind Singh Deo berkata, jumlah ikat jamin yang dicadangkan adalah tidak munasabah.

Malah katanya, pembelaan membantah syarat tambahan yang dikenakan kerana Syed Saddiq memberi kerjasama yang baik sejak siasatan dijalankan bermula 1 April tahun lalu.

Sehingga kini katanya, tiada aduan menyatakan anak guamnya mengganggu saksi atau melarikan diri.

“Kami mempertikaikan, kenapa pertuduhan dibuat tiga hari sebelum Parlimen bersidang sedangkan pihak pendakwaan mendapat izin untuk mendakwa pada tujuh bulan lalu," katanya.

Faridz Gohim membalas, tiada tarikh luput bagi izin dakwa dan terpulang kepada pendakwaan untuk membawa kes ke tarikh yang ditentukan.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Azura membenarkan Syed Saddiq diikat jamin bagi kedua-dua pertuduhan sebanyak RM330,000 masing-masing dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan Syed Saddiq melunaskan ikat jamin sebanyak RM80,000 pada hari ini manakala baki RM250,000 selewat-lewatnya Selasa depan.

Syed Saddiq juga dikehendaki memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.

Bagaimanapun mahkamah tidak mengeluarkan perintah halangan untuk Syed Saddiq daripada mengulas mengenai kes itu.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 September depan untuk sebutan semula kes.

Hadir sama di mahkamah pada Khamis ialah Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh; Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil dan Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Tian Chua serta ibu bapa Syed Saddiq iaitu Syed Abdul Rahman Syed Abdullah Al-Sagoff dan Sharifah Mahani Syed Abdul Aziz.

ARTIKEL BERKAITAN: Saya lebih rela masuk mahkamah daripada PN, kata Syed Saddiq