Risiko kemudaratan kepada orang lain

Kejayaan kerajaan dalam mewujudkan hampir 14 juta penerima vaksin di negara sepatutnya menjadi kayu ukur kepada golongan antivaksin.
Kejayaan kerajaan dalam mewujudkan hampir 14 juta penerima vaksin di negara sepatutnya menjadi kayu ukur kepada golongan antivaksin.
A
A
A

SHAH ALAM - Beberapa pakar berpendapat bahawa terdapat tiga solusi terbaik untuk memupuk kesedaran kepada golongan antivaksin antaranya mengadakan kempen kesedaran secara berterusan mengenai kepentingan vaksin Covid-19.

Dr Haliza Abdul Rahman
Dr Haliza Abdul Rahman

Pakar Kesihatan Persekitaran daripada Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman berkata, kempen secara berterusan itu perlu dilakukan menerusi media massa dan media sosial.

Menurut beliau, ia juga secara tidak langsung dapat mengubah tingkah laku daripada tidak percaya kepada percaya akan keberkesanan vaksin Covid-19 berkenaan.

“Kita juga perlu menunjukkan kajian saintifik yang membuktikan vaksin tersebut berkesan. Ia dapat dilihat daripada kejayaan negara lain dalam menangani kes Covid-19 melalui vaksinasi seperti Kanada.“Kemudian, menerusi pendidikan secara langsung dan tidak langsung. Sebagai contoh melalui nasihat atau pujukan ahli keluarga dan rakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Bagaimanapun, Dr Haliza berkata, sekiranya ketiga-tiga kaedah tersebut tidak berkesan untuk menyedarkan golongan antivaksin, kerajaan perlu menggubal akta atau undang-undang pengambilan vaksin Covid-19.

“Kerajaan mungkin boleh menambah seksyen dalam akta sedia ada iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342). Sebagai contoh, mewajibkan pengambilan vaksin Covid-19 jika situasi semakin serius.

Artikel Berkaitan:

“Kerajaan juga boleh memberikan keistimewaan kepada individu yang melengkapkan dua dos suntikan vaksin seperti kebenaran rentas negeri. Ia secara tidak langsung mendorong golongan antivaksin setuju untuk divaksin dengan segera,” katanya.

Dr Rusyda Helma Mohd
Dr Rusyda Helma Mohd

Pakar Penyelidik Kesejahteraan Hidup Manusia daripada Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Rusyda Helma Mohd turut sependapat dengan Dr Haliza tetapi berasakan kerajaan perlu menggubal undang-undang khusus berkaitan vaksin Covid-19.

“Kerajaan boleh tentukan sesiapa yang tidak mengambil vaksin tidak boleh merentas negeri. Cuma, persoalannya adakah sempat untuk akta itu digubal?

“Kalau tengok perspektif yang lebih luas, selagi mana bukan sebab dia sakit dan tidak boleh divaksin, kita tidak boleh paksa. “Kalau dia tiada masalah kesihatan tetapi tidak mahu divaksin, dia sebenarnya boleh dianggap mengundang kemudaratan kepada orang lain. Itu kita boleh dikenakan tindakan,” katanya.Jelasnya, kerajaan juga wajar mengenakan hukuman ke atas golongan antivaksin, namun perlu mengambil kira akta sesuai dengan hukuman tersebut.

Dr Fauziah Saad
Dr Fauziah Saad

Pakar Psikologi Kaunseling daripada Universiti Pendidikan Sultan Idris, Dr Fauziah Mohd Saad pula berkata, kejayaan kerajaan mewujudkan hampir 14 juta penerima vaksin sepatutnya menjadi kayu ukur kepada golongan antivaksin.

Beliau berkata, ia jelas menunjukkan tiada sebarang risiko negatif sebagaimana yang didakwa oleh golongan berkenaan.

“Kerajaan telah mengambil kira vaksin yang sesuai mengikut keadaan individu khususnya mereka yang berpenyakit sampingan seperti kencing manis, darah tinggi dan serangan jantung,” katanya.