MAHB, Skyports, Volocopter meterai MoU kaji pelaksanaan vertiport di Malaysia

Kenyataan media MAHB pada Rabu.
Kenyataan media MAHB pada Rabu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) tiga pihak dengan Skyports dan Volocopter untuk menjalankan kajian daya maju pelaksanaan infrastruktur vertiport (lapangan terbang berlepas dan mendarat secara menegak) di Malaysia.

Skyports merupakan pereka dan pengendali utama dunia infrastruktur vertiport bagi teksi udara elektrik manakala Volocopter adalah perintis kepada mobiliti udara bandar (UAM).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kerjasama yang baru dibentuk itu akan mengkaji pelaksanaan revolusi perkhidmatan teksi udara elektrik di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang serta lokasi lain di seluruh negara.

Menurutnya, untuk tujuan itu, kepakaran ketiga-tiga pihak dalam aeroangkasa dan penerbangan akan digabungkan.

Katanya, inisiatif itu akan meletakkan negara dalam kalangan peneraju di rantau ini dari segi kesediaan untuk melaksanakan UAM.

"Teknologi dan revolusi teksi udara adalah satu trend masa depan yang kita mahu lihat berlaku dalam industri penerbangan Malaysia.

"Dengan LTSAAS menawarkan ekosistem sinergi dalam sektor penerbangan dan aeroangkasa, sudah sampai masanya bagi kita untuk meneroka perkhidmatan baharu ini kerana ia melengkapkan pembangunan utama lain, inisiatif penjanaan semula industri," katanya menerusi satu kenyataan pada Rabu.

MoU yang dimeterai itu juga untuk menilai penyelesaian vertiport yang sesuai bagi membolehkan pelepasan dan pendaratan kenderaan serta pelepasan dan pendaratan vertikal elektrik penumpang (eVTOL) yang selamat.

Artikel Berkaitan:

Kajian itu akan mengambil kira faktor-faktor seperti permintaan, aliran pelanggan dan bagaimana untuk mengintegrasikan operasi UAM.

Dengan usaha itu juga diharapkan dapat membantu rantau Asia Pasifik dalam memenuhi 45 peratus pasaran mobiliti udara maju (MAA).

Kerjasama berkenaan juga menjadi sebahagian daripada Pelan Regenerasi LTSAAS selama lima tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Shukrie memberitahu, menerusi kerjasama itu MAHB berharap dapat mengukuhkan lagi kedudukan LTSAAS di Asia Pasifik dengan memenuhi segmen penyelidikan, pemasangan, pembuatan, penyenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) selain operasi teksi udara.

"Ia bertujuan untuk menyediakan keupayaan dan penyelesaian menyeluruh dan bernilai tinggi yang diterajui oleh pengendali utama.

"Regenerasi LTSAAS akan menawarkan pelbagai peluang pengembangan untuk pemain penerbangan dan aeroangkasa di seluruh dunia bagi memperluaskan sasaran kerajaan untuk menjadikan LTSAAS sebagai pusat aeroangkasa dan hab penerbangan perniagaan," katanya.