X

Kindly register in order to view this article
!

'Susah lelap seolah ada gangguan sebelum diberitahu anak hilang'

Said (kanan) dan tiga cucunya menunjukkan gambar Shahrul Nizwan
A
A

PORT DICKSON - Resah hati seorang bapa dan sukar melelapkan mata rupa-rupanya membawa petanda tidak baik yang berlaku kepada anaknya.

Said Sapie, 68, bapa kepada Shahrul Nizwan, 33, yang dikhuatiri lemas selepas lori dipandunya terjunam ke dalam laut di Jeti Jimah Power Plant jam 1.30 pagi Isnin bagaimanapun reda menerima berita itu.

Dia juga berharap anak keduanya itu dapat ditemui segera lebih-lebih lagi esok umat Islam menyambut Aidiladha.

Menurutnya, dia hanya mengetahui kejadian itu selepas dihubungi isteri Shahrul Nizwan iaitu Siti Fatimah Zailan, 36, pada jam 5 pagi.

"Saya susah nak melelapkan mata malam tadi seolah-olah ada gangguan dan hanya dapat tidur sekejap saja sebelum terjaga apabila menantu telefon.

"Menantu saya dalam keadaan menangis beritahu 'angah' (suaminya) hilang dan meminta saya bertenang," katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui di rumahnya di Taman Jimah Jaya di sini pada Isnin.

Bagaimanapun katanya, disebabkan perasaan tidak sedap hati, dia yang tinggal di taman perumahan sama bergegas ke rumah menantunya.

Ujarnya, dia diberitahu yang Shahrul Nizwan hilang selepas lorinya terjatuh ke dalam laut dan pihak bomba masih berusaha mencarinya.

"Anak saya baru tiga bulan bekerja sebagai pemandu lori arang batu selepas berhenti sebagai pengawal keselamatan di Sepang, Selangor.

"Sebelum dia pergi kerja jam 7 malam tadi (Ahad), dia ada datang rumah saya untuk mengambil anak sulungnya, tetapi saya suruh dia balik dulu, " katanya.

Said berkata, ketika itu Shahrul Nizwan tidak menunjukkan sebarang perubahan dan seperti biasa tidak bercakap banyak.

"Dia seorang anak yang baik dan tidak banyak bercakap. Setiap hari dia akan datang ke rumah saya untuk menghantar anak sulungnya menemani saya yang tinggal seorang diri di rumah," katanya.

Shahrul Nizwan mempunyai empat anak iaitu Muhammad Saiful Azam, 13, Nor Shahzliana, 11, Thaqif Aidil, 9 dan Nor Sumayyah, 5 bulan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superitendan Aidi Sham Mohamed berkata, lori dipandu mangsa ditemui jam 11 pagi Isnin.

Bagaimanapun katanya, mangsa masih belum ditemui dan operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih giat dilakukan.

"Mangsa dipercayai terjatuh ketika melakukan kerja-kerja pembersihan sisa arang batu di Jeti Coal Unloading Edra Energy Jimah Power Plant Bukit Pelandok,"katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!