Bekas ketua balai bomba sujud syukur dilepas, dibebaskan tuduhan salah guna kuasa

KUANTAN - Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Pekan melakukan sujud syukur di dalam mahkamah selepas dilepas dan dibebaskan daripada 10 pertuduhan salah guna kuasa berkaitan pemberian kontrak pembekalan makanan kepada sebuah syarikat milik isterinya.
Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan, Samry Masri pada Selasa membatalkan keputusan Mahkamah Sesyen yang sebelum ini menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun serta denda RM194,062 terhadap Sheikh Hassan Sheikh Zainuddin, 61.
Dalam penghakiman ringkasnya, Samry berkata, selepas meneliti semua keterangan, mahkamah membenarkan semua rayuan dan mengetepikan keputusan Mahkamah Sesyen sebelum ini, sekali gus melepas dan membebaskan tertuduh daripada semua pertuduhan.
Tidak dapat menyembunyikan kegembiraannya, bapa kepada tiga anak itu mengakui lega apabila penantian selama tujuh tahun untuk membersihkan namanya berakhir.
Menurutnya, kes itu dibicarakan kira-kira empat tahun di Mahkamah Sesyen, diikuti tiga tahun lagi di Mahkamah Tinggi.
"Alhamdulillah saya amat bersyukur dengan keputusan hari ini,” katanya ketika ditemui di luar mahkamah.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Muhammad Asraf Mohamed Tahir, manakala Sheikh Hassan diwakili oleh G Ravishankar.
Pada 2018, Sheikh Hassan yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu didakwa menyalahgunakan kedudukannya melantik syarikat milik isterinya bagi pembelian dan penyediaan makanan di antara Mac 2014 dan 3 Ogos 2015 dengan setiap kontrak bernilai RM1,075 hingga RM7,500.
Mengikut pertuduhan, kontrak itu membabitkan penganjuran program dan operasi anggota bomba di balai itu antaranya meliputi penyediaan makanan untuk mereka yang terbabit dengan operasi pembinaan semula rumah terbakar, memadam kebakaran hutan serta banjir.
Dia didakwa mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun dan denda RM10,000 atau lima kali nilai suapan, mengikut mana lebih tinggi.
Ringkasan AI
- Bekas Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Peramu, Pekan dilepas dan dibebaskan dari 10 pertuduhan salah guna kuasa
- Hakim Mahkamah Tinggi Kuantan membatalkan hukuman penjara 15 tahun dan denda RM194,062
- Mahkamah membenarkan semua rayuan dan mengetepikan keputusan asal
- Sheikh Hassan melalui proses peradilan selama tujuh tahun untuk membersihkan namanya
- Sheikh Hassan didakwa menyalahgunakan kedudukannya untuk pemberian kontrak pembekalan makanan kepada syarikat milik isterinya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

