X

Kindly register in order to view this article
!

Pendakwaan failkan rayuan terhadap pembebasan Tengku Adnan

Laporan Sinar Harian pada 16 Julai 2021.
A
A

PUTRAJAYA - Pihak pendakwaan pada Isnin memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta daripada seorang ahli perniagaan pada tahun 2016.

Mengikut sumber Jabatan Peguam Negara, notis rayuan itu difailkan kira-kira 12.30 tengah Isnin. Pendakwaan merayu terhadap keputusan berkenaan untuk dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Pada 16 Julai lepas, Mahkamah Rayuan membenarkan rayuan Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 bulan serta denda RM2 juta yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Datuk Suraya Othman yang membacakan keputusan majoriti 2-1 itu berkata mahkamah mendapati cek RM2 juta yang diterima Tengku Adnan daripada ahli perniagaan Tan Sri Chai Kin Kong adalah sumbangan politik kepada UMNO.

Hakim Datuk Ahmad Nasfy Yasin bersetuju dengan Hakim Suraya manakala Hakim Datuk Abu Bakar Jais, menolak rayuan Tengku Adnan.

Hakim Abu Bakar ketika menolak rayuan itu berkata, beliau bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi bahawa Tengku Adnan telah menerima cek itu untuk dirinya sendiri dan ia bukan sumbangan politik untuk UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN: Ku Nan bebas kes rasuah RM2 juta

Pada 21 Disember tahun lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta terhadap Ahli Parlimen Putrajaya itu selepas mendapati beliau bersalah atas pertuduhan tersebut di akhir kes pembelaan.

Tengku Adnan, 70, didakwa sebagai seorang penjawat awam iaitu menteri Wilayah Persekutuan, menerima RM2 juta daripada Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB) Tan Sri Chai Kin Kong melalui cek didepositkan ke dalam akaun bank milik syarikat Tadmansori Holdings Sdn Bhd yang beliau mempunyai kepentingan dan diketahui syarikat AKSB ada perhubungan dengan tugas rasminya.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di CIMB Bank Berhad, Cawangan Pusat Bandar Damansara di sini pada 14 Jun 2016 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda jika sabit kesalahan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!