Polis kesan tiga individu pakai gelang merah jambu pergi farmasi

Foto tiga individu disyaki memakai gelang merah jambu berada di luar farmasi di Puchong yang tular di laman sosial pada Jumaat. (Gambar kecil: Abd Khalid)
Foto tiga individu disyaki memakai gelang merah jambu berada di luar farmasi di Puchong yang tular di laman sosial pada Jumaat. (Gambar kecil: Abd Khalid)
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis sedang mengesan tiga individu yang disyaki memakai gelang dalam pengawasan (PUS) Covid-19 di sebuah farmasi di Puchong di sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, pasukan pematuhan dan pemantauan Covid-19 telah menjalankan pemeriksaan di premis berkenaan.

"Soal siasat terhadap penyelia farmasi memaklumkan kejadian itu berlaku pada jam 11.20 pagi Khamis.

"Seorang lelaki memasuki premis tanpa membuat imbasan MySejahtera dan memakai gelang merah jambu mahu membeli ubat, manakala seorang lagi lelaki dan wanita menunggu di luar premis," katanya.

Menurutnya, lelaki yang memasuki premis terbabit beredar tanpa membuat sebarang pembelian selepas dimarahi dan diarahkan keluar oleh pekerja farmasi.

"Berikutan itu, empat pekerja farmasi yang bertugas pada hari kejadian telah diarahkan menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing sebelum membuat ujian calitan awal," katanya menerusi satu kenyataan pada Isnin.

Beliau bagaimanapun berkata, tiada sebarang laporan polis dibuat selepas kejadian itu, namun siasatan dilakukan dan polis sedang mengesan tiga individu itu kerana melanggar arahan kuarantin yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

"Kes disiasat mengikut Seksyen 270 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Artikel Berkaitan:

"Kita juga telah mengeluarkan kompaun terhadap premis berkenaan mengikut Peraturan 16 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (PPPPB) 2021 kerana gagal memastikan pelanggan risiko rendah dibenarkan masuk dalam premis," kata beliau.