Perbicaraan kes saman barang kemas Rosmah ditangguh

Rosmah Mansor
A
A

KUALA LUMPUR - Perbicaraan kes saman sebuah syarikat pemborong barang kemas dari Lubnan terhadap Datin Seri Rosmah Mansor yang jadual bemula bulan depan terpaksa ditangguhkan sehingga status 44 barang kemas tersebut disahkan polis.

Peguam N. Rajivan yang mewakili Rosmah memberitahu pemberita, pihak polis diberikan tempoh sehingga penghujung Mei ini bagi melengkapkan siasatan untuk mengenal pasti sama ada 44 barang kemas milik syarikat itu termasuk dalam barang kemas yang dirampas dalam serbuan Mei tahun lalu.

"Sekiranya hasil siasatan mendapati 44 barang kemas itu berada dalam jagaan pihak polis, pihak kami akan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman berkenaan atas alasan mahkamah ini tidak mempunyai bidang kuasa untuk mendengar kes saman ini," katanya selepas prosiding pengurusan kes itu hari ini.

Saman berkenaaan difailkan Global Royalty Trading SAL selaku pihak plaintif tahun lalu bagi menuntut Rosmah memulangkan semua unit barang kemas yang dihantar kepadanya untuk dipilih atau membayar harga semua barangan kemas berkenaan yang berjumlah US$14.79 juta atau hampir RM60 juta.

Pesuruhjaya Kehakiman Wong Chee Lin sebelum ini menetapkan pada 4 dan 5 Mac ini bagi perbicaraan kes tersebut.

Sementara itu peguam, Datuk G. David yang bertindak bagi syarikat Global Royalty Trading SAL berkata, mahkamah berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh Peguam Kanan Persekutuan tentang proses siasatan polis berhubung barangan kemas itu.

"Mahkamah kemudian menetapkan 24 Mei ini untuk pengurusan kes selanjutnya termasuk menetapkan tarikh bicara baharu," katanya.

Melalui saman yang difailkan pada 26 Jun 2018, Global Royalty mendakwa pihaknya menyerahkan barang kemas kepada pelanggan tetapnya itu untuk dinilai dan akan membeli barangan yang dipilih olehnya.

Kebiasaannya pembayaran akan dibuat sendiri oleh pelanggannya atau melalui pihak ketiga serta baki barang kemas yang tidak dipilih akam dipulangkan kepada pihak plaintif.

Pihak plaintif mendakwa, Rosmah dalam surat bertarikh 22 Mei tahun lalu mengesahkan, menerima 44 barang kemas itu namun kini tidak lagi berada dalam miliknya kerana telah disita oleh polis.

Pihak plaintif menuntut enam perintah perisytiharan antaranya, sebagai pemilik sah ke atas barang kemas itu dan harta tersebut tidak berpindah kepada defendan dan perintah mandatori supaya barang kemas dipulangkan kepada pihak plaintif.