Tetap hulur sumbangan meskipun terkesan

Azril Naim mengerakkan usaha membantu mereka terkesan akibat pandemik Covid-19 menerusi sumbangan bakul makanan.
Azril Naim mengerakkan usaha membantu mereka terkesan akibat pandemik Covid-19 menerusi sumbangan bakul makanan.
A
A
A

KUANTAN - Meskipun perniagaan yang diusahakan sejak tujuh tahun lalu turut terjejas akibat pandemik Covid-19 yang melanda negara, namun seorang tukang kayu tidak ketinggalan untuk membantu mereka yang terkesan disebabkan wabak merbahaya itu.

Azril Naim Ahmad, 41, yang mengusahakan syarikat perabot moden, Aznur Home Furniture mengakui turut bersimpati terhadap mereka yang terkesan akibat Covid-19 sekali gus mendorongnya menggerakkan usaha membantu mereka menerusi sumbangan bakul makanan.

Menurutnya, sumbangan bakul makanan yang diusahakan itu diagihkan kepada golongan yang kurang berkemampuan dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Ikhlas Insan Prihatin Negeri Pahang.

"Saya cuba membantu apa yang termampu mengikut kemampuan kerana sedar ada dalam kalangan mereka yang terjejas dan susah akibat pandemik ini.

"Walaupun saya turut terkesan namun masih ramai lagi yang terjejas teruk menyebabkan saya terpanggil untuk turut sama membantu mereka," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menceritakan lebih lanjut, Azril Naim berkata, syarikat miliknya itu masih mendapat tempahan daripada pelanggan bagi kerja-kerja pembuatan kabinet dapur, kabinet televisyen, almari, rak kasut dan pelbagai lagi kerja-kerja kayu, namun terpaksa ditolak demi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.

Katanya, dia turut memulangkan deposit bagi tempahan pelanggan sebelum ini kerana menyedari ketika musim wabak Covid-19 ini mereka amat memerlukan wang untuk meneruskan kehidupan.

"Saya pulangkan deposit pelanggan kerana kita tidak tahu bila suasana kembali pulih selain sedar ada mereka lebih memerlukan duit dalam tempoh sukar begini," katanya,

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, bekas penuntut Institut Kemahiran Mara (IKM) Alor Setar dalam bidang Teknologi dan Pembuatan Perabot itu memberitahu, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19 turut dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengisi masa lapang.

"Dulu saya tak pandai baiki kereta tapi secara tiba-tiba kemahiran itu datang dalam tempoh begini.

"Jadi saya gunakan kemahiran ini selain baiki kenderaan sendiri, juga saya turut membantu rakan-rakan yang memerlukan khidmat baiki kenderaan," ujarnya.