Banjir besar di Eropah: Angka kematian meningkat 128 orang

Beberapa rumah berhampiran sungai Ahr di Ansul, barat Jerman rosak akibat banjir. - Foto Agensi
Beberapa rumah berhampiran sungai Ahr di Ansul, barat Jerman rosak akibat banjir. - Foto Agensi
A
A
A

SCHULD - Banjir besar melanda Eropah mengorbankan sekurang-kurang 128 nyawa, kebanyakannya di barat Jerman yang menyaksikan pasukan perkhidmatan kecemasan terus giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada Jumaat.

Penduduk terjejas dilaporkan langsung tidak menjangka bencana alam seburuk itu yang dipanggil sebagai 'banjir kematian' oleh akhbar Jerman, Bild.

Jalanan serta deretan rumah ditenggelami banjir di beberapa kawasan selain kenderaan dilihat terbalik dan tersadai manakala sesetengah daerah terputus hubungan sepenuhnya.

Menteri Dalam Negeri Rheinland-Palatinate, Roger Lewentz, memberitahu, Bild bahawa angka kematian dijangka meningkat dengan perkhidmatan kecemasan masih meneruskan operasi SAR di lokasi bencana.

Di Belgium, kerajaan mengesahkan angka kematian telah mencecah 20 mangsa dengan lebih 21,000 orang terputus bekalan elektrik di sebuah wilayah.

Sambil menyifatkan banjir berkenaan sebagai 'mungkin malapetaka paling dahsyat pernah melanda negara itu', Perdana Menteri Belgium, Alexander De Croo, mengisytiharkan Selasa sebagai hari berkabung kebangsaan.

Tentera dikerah ke empat wilayah bagi membantu operasi SAR dan usaha memindahkan penduduk ke kawasan lain.

Presiden Wallonia, Elio Di Rup pula memberi amaran mengenai limpahan air Sungai Meuse yang dilihat sangat membahayakan bandar berdekatan, Liege dengan kira-kira 200,000 penduduk.

Artikel Berkaitan:

Luxembourg dan Belanda turut dilanda hujan lebat, sekali gus menenggelamkan banyak kawasan sehingga ribuan penduduk terpaksa dipindahkan di bandar Maastricht.

Di Switzerland, paras air tasik dan sungai turut meningkat susulan hujan lebat sepanjang malam dan air Tasik Lucerne mula melimpah serta membanjiri kawasan di sekitar pusat bandar Lucerne.

Sesetengah kawasan di barat Eropah dilanda hujan lebat bersamaan taburan dua bulan dalam tempoh hanya dua hari, menurut Pertubuhan Meteorologi Dunia.

Bagaimanapun, banjir di beberapa kawasan dilaporkan semakin pulih apabila paras air mulai surut, semalam. - AFP