Kabinet Keselamatan Isreal desak serang lagi Iran

BAITULMAQDIS – Kebimbangan terhadap kemungkinan konflik baharu Israel-Iran semakin meningkat selepas media negara itu melaporkan Kabinet Keselamatan yang dipengerusikan Perdana Menteri sementara, Benjamin Netanyahu mengarahkan tentera meningkatkan persiapan untuk kemungkinan serangan ke atas Iran.
Laporan itu turut menyusul dakwaan bahawa Netanyahu berulang kali menghubungi Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump bagi mendesak Washington menyokong kempen ketenteraan baharu terhadap Teheran.
Bagaimanapun, laporan penyiar awam Israel, KAN mengenai kemungkinan AS meminta Israel bersedia menghadapi konfrontasi baharu kemudiannya dinafikan oleh Pemerintah Pusat AS (CENTCOM) yang menyifatkannya sebagai spekulasi semata-mata.
Malah, menurut laporan Channel 13, pihak tentera Israel sendiri tidak melihat keperluan mendesak untuk menyerang Iran ketika ini.
Penilaian itu dilaporkan turut dibentangkan kepada Netanyahu dan pemimpin pembangkang, Gadi Eisenkot yang diberikan tanggungjawab membentuk kerajaan baharu.
Dalam perkembangan sama, pemimpin pembangkang Israel mendesak Netanyahu supaya tidak membuat keputusan ketenteraan besar tanpa ancaman keselamatan yang benar-benar mendesak.
Pemimpin parti Yisrael Beytenu, Avigdor Lieberman memberi amaran bahawa kerajaan sementara tidak sepatutnya membuat keputusan yang boleh mengheret Israel ke kancah peperangan tanpa pengawasan Parlimen dan persetujuan penuh pegawai keselamatan.
Eisenkot turut menyuarakan kebimbangan sama menerusi surat kepada Netanyahu dengan memberi amaran bahawa pengerahan tentera tanpa ancaman langsung dan segera boleh membawa kesan buruk terhadap demokrasi Israel serta kepercayaan rakyat terhadap institusi kerajaan.
Netanyahu bagaimanapun menegaskan semua keputusan kerajaan dibuat berdasarkan pertimbangan keselamatan negara.- Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
