Alice Huang wanita misteri di sebalik kontroversi Nvidia

Alice berada dalam radar antarabangsa susulan dakwaan menjadi ejen perisik China.
Alice berada dalam radar antarabangsa susulan dakwaan menjadi ejen perisik China.
A
A
A

HUBUNGAN antara bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nvidia, Jensen Huang dengan seorang wanita misteri yang disyaki menjadi 'ejen perisik China' mencetuskan perhatian dalam kalangan politik dan industri teknologi global.

Alice Huang yang pernah berkhidmat dalam sektor kewangan di Beijing sebelum menceburi industri teknologi didakwa terlibat skandal dengan Huang, ketua gergasi semikonduktor berpusat di California yang menghasilkan cip untuk menyokong pembangunan sistem kecerdasan buatan (AI) canggih.

Laporan The New York Times pada bulan lalu mendedahkan beberapa pembuat dasar kanan menerima memorandum yang mengandungi maklumat risikan mengenai Alice yang turut dikenali sebagai Huang Le. Wanita itu didakwa sebagai ejen Kementerian Keselamatan Negara China.

Maklumat risikan berkenaan menunjukkan Alice direkrut untuk mempengaruhi Nvidia supaya melonggarkan akses Beijing kepada cip mikro berteknologi tinggi keluaran syarikat itu.

Foto yang tular dan dimuat naik oleh firma perisian NetThunder menerusi LinkedIn pada 2024 memaparkan Huang bersama beberapa individu lain sedang memegang minuman di Taipei sambil ditemani Alice.

Bagaimanapun, tempoh sebenar hubungan itu terjalin dan bila ia berakhir masih belum diketahui. Alice dikatakan gagal dihubungi selepas skandal bersama Huang terbongkar.

Foto memaparkan Alice bersama Jensen Huang turut tersebar selepas kontroversi membabitkan bekas CEO Nvidia itu terbongkar. Foto Agensi
Foto memaparkan Alice bersama Jensen Huang turut tersebar selepas kontroversi membabitkan bekas CEO Nvidia itu terbongkar. Foto Agensi

Maklumat terhad

Artikel Berkaitan:

Di sebalik kontroversi yang mengaitkan namanya dengan Huang, latar belakang Alice turut mencuri perhatian berikutan penglibatannya dalam sektor kewangan dan teknologi di China serta Singapura. Bagaimanapun, butiran mengenai Alice yang diketahui umum amat terhad.

Beliau memulakan kerjaya sebagai eksekutif kewangan di Beijing sebelum beralih ke sektor AI, pusat data dan cip komputer.

Alice juga dikatakan pernah terlibat dalam bidang penyiaran menerusi Hunan TV dan China Central Television (CCTV).

Pada 2023, wanita itu dilantik sebagai pengarah Megaspeed, sebuah firma berpusat di Singapura yang disenaraikan sebagai rakan kongsi awan rasmi Nvidia

Pada tahun lalu, syarikat itu mendapat perhatian pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) susulan dakwaan mengelak sekatan eksport Washington dengan menyalurkan sejumlah besar cip Nvidia berteknologi tinggi kepada pengguna di China.

Rekod pendaftaran korporat menunjukkan Megaspeed pada asalnya ditubuhkan di Singapura pada 2015 menggunakan nama 7Road International.

Syarikat itu berfungsi sebagai cabang operasi luar negara bagi sebuah pemaju permainan video dari Beijing.

Dokumen korporat menunjukkan syarikat itu menukar nama kepada Megaspeed International pada Mac 2023 manakala keseluruhan sahamnya dipindahkan kepada Huang Le Limited, sebuah entiti yang didaftarkan di Kepulauan Virgin British.

Pada bulan sama, penyelidikan oleh C4ADS, sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan berpusat di Washington yang memberi tumpuan kepada isu keselamatan global mendapati Alice merupakan pemegang saham pengawal Megaspeed.

Menjelang November 2023, nama Alice tidak lagi disenaraikan sebagai pengarah syarikat itu manakala keseluruhan pegangan sahamnya dipindahkan kepada ahli perniagaan Singapura, Tan Yong Pong yang turut dikenali sebagai James Tan.

Pegang jawatan penting

Menerusi laporan firma penyelidikan pelaburan Culper Research pada Mei lalu, Alice masih menjadi ketua dan terus terlibat dalam operasi harian meskipun rekod korporat menunjukkan beliau tidak lagi memegang jawatan di Megaspeed.

Sebelum menyertai syarikat teknologi itu, Alice pernah memegang beberapa jawatan kanan di Shanghai Hexi Investment Co antara 2015 hingga 2017.

Antara jawatan yang disandangnya termasuk timbalan pengurus besar, pengarah eksekutif dan anggota jawatankuasa pelaburan Hexi.

Alice turut mempunyai pengalaman dalam bahagian perbankan swasta HSBC di Hong Kong serta CITIC Securities, sebuah firma perkhidmatan kewangan dan pelaburan China.

Wanita itu dikatakan pernah memasuki Taiwan beberapa kali menggunakan pasport Hong Kong.

Atas faktor keselamatan, Menteri Dalam Negeri Taiwan, Liu Shyh-fang memaklumkan pihak berkuasa termasuk agensi berkaitan sedang giat menjalankan siasatan.

Sejak awal minggu lalu, Beijing menepis dakwaan Alice bertindak sebagai ejen perisik mereka.

Kementerian Luar China menyifatkan tuduhan itu sebagai tidak berasas dan cubaan memburukkan imej negara tersebut.

Keberadaannya terus menjadi tanda tanya, namun laporan media menyebut Alice dipercayai kini menetap di Beijing. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!