X

Kindly register in order to view this article
!

Ku Nan baca doa selepas dibebaskan kes rasuah RM2 juta

Tengku Adnan membaca doa selepas Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Jumaat melepas dan membebaskannya daripada pertuduhan kes rasuah RM2 juta.
A
A

PUTRAJAYA - Sejurus Mahkamah Rayuan di sini pada Jumaat melepas dan membebaskan sabitan kes rasuah RM2 juta, bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor dilihat memanjatkan doa sebagai tanda syukur.

Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai Ku Nan hadir di mahkamah seawal jam 8.36 pagi dengan memakai baju Melayu merah, tidak menunggu lama dan segera beredar selepas keputusan dibacakan.

Keputusan itu dibuat menerusi majoriti 2-1 yang disampaikan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Suraya Othman.

Beliau yang mengetuai dua lagi panel hakim membenarkan permohonan Tengku Adnan untuk mengetepikan hukuman kes rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya pada lima tahun lalu.

Ini menyebabkan Tengku Adnan terselamat daripada menerima hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta atas hukuman yang dijatuhkan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada tahun lalu.

Turut bersidang ialah Hakim Datuk Abu Bakar Jais dan Hakim Ahmad Nasfy Yasin.

Ketika membaca keputusan penghakimannya, Suraya berkata, pihak pendakwaan gagal memeriksa semula keterangan Pengarah Aset Kayamas Sdn Bhd (AKSB), Tan Sri Chai Kin Kong berhubung bukti-bukti mengenai RM2 juta adalah sumbangan politik untuk UMNO.

ARTIKEL BERKAITAN Ku Nan bebas kes rasuah RM2 juta

Menurutnya, Kin Kong secara jelas mengesahkan bahawa dana itu adalah sumbangan politik kepada UMNO dan bukannya untuk Tengku Adnan.

Malah, katanya, saksi ke-6 iaitu Ketua Pegawai Operasi Tadmansori Holdings Sdn Bhd (THSB), Datuk Mohd Hasbi Jaafar memberitahu perkara sama kepada mahkamah yang mana ia digunakan untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kangsar, Perak dan Sungai Besar, Selangor.

“Bukti yang dikemukakan oleh saksi ke-23 iaitu Pegawai Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Muhammad Saad Bordani juga penting kerana ia menunjukkan bahawa cek bernilai RM2 juta itu adalah sumbangan politik untuk perbelanjaan PRK tersebut.

“Dalam keadaan serupa, tidak ada cadangan yang dibuat oleh pihak pendakwaan bahawa Kin Kong tidak jujur atau menipu.

“Malah, dalam alasan penghakiman Hakim Mahkamah Tinggi tidak memperincikan kegagalan pihak pendakwaan, sekurang-kurangnya memeriksa semula keterangan Kin Kong sama ada RM2 juta itu adalah sumbangan politik kepada UMNO,” ujar beliau.

Berkenaan penerimaan rasmi RM2 juta itu, Suraya berkata, Kin Kong mengulangi bahawa dia menerima resit pada 16 atau 17 Jun 2016.

Katanya, mahkamah mendapati bukti langsung itu tidak bercanggah atau disangkal, maka dengan demikian tetap tidak ditentang oleh pihak pendakwaan.

Oleh itu, katanya, pendapat pihak pendakwa bahawa resit itu hanya dikeluarkan pada November 2018 setelah Tengku Adnan ditangkap dan dokumen itu palsu, adalah tidak terbukti.

Bagaimanapun, Abu Bakar menolak rayuan tersebut dan berkata, Mahkamah Tinggi telah membuat keputusan yang betul dalam kes berkenaan.

Dalam penghakimannya, beliau berkata, pasukan pendakwaan berjaya membuktikan elemen bahawa Kin Kong memberi satu cek AKSB berjumlah RM2 juta kepada Tengku Adnan.

Katanya, tertuduh yang memiliki 99.99 peratus saham syarikat secara praktikalnya memiliki syarikat tersebut.

“Saya bersetuju dengan keputusan Hakim perbicaraan bahawa tertuduh telah menerima cek untuk dirinya sendiri, bukan sumbangan politik untuk UMNO seperti yang ditegaskannya.

“Cek itu tidak dikeluarkan kepada UMNO tetapi kepada syarikat Tadmansori, namun tiada bukti bahawa Tadmansori membayar jumlah itu kepada parti politik tersebut,” katanya.

Dengan kata lain, katanya, cek itu adalah untuk kepentingan Tengku Adnan sendiri dan bukan untuk UMNO, maka elemen dari Seksyen 165 telah dibuktikan oleh pihak pendakwaan.

Dalam prosiding itu, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Asmah Musa dan Datin Nurshuhaida Zainal Azahar, manakala Tengku Adnan diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Pada 21 Disember 2020, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan dan denda RM2 juta selepas Tengku Adnan didapati bersalah atas pertuduhan menerima rasuah RM2 juta berhubung tugas rasminya lima tahun lalu.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!