X

Kindly register in order to view this article
!

MB Inc peruntukan RM5 juta perluas program CSR

Anuar (kanan) menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan 50 kotak makanan kepada Sayed Mohd Hesyam Syed Idris di Ipoh pada Jumaat.
A
A

IPOH - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) telah memperuntukan hampir RM5 juta bagi program tanggungjawab sosial korporat (CSR) sepanjang tempoh pandemik Covid-19 sejak tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, peruntukan itu meliputi pelbagai aspek bantuan; antaranya kotak makanan kepada komuniti, pengecualian bayaran sewa kepada operator, pendidikan dan kesihatan.

"CSR kita tidak tertumpu kepada bantuan makanan sahaja. Bermula Januari lalu, MB Inc turut menyumbangkan sebanyak 100 komputer riba terpakai membabitkan peruntukan hampir RM60,000 bagi tujuan pembelajaran dalam talian kepada pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah di seluruh negeri.

"Selain itu, MB Inc juga telah memberi kelonggaran dari segi sewaan selama enam bulan kepada pengusaha dan penyewa di bawah perbadanan ini.

"Sebagai menyokong usaha mengekang penularan wabak, MB Inc turut membantu menyediakan perkhidmatan sanitasi secara percuma kepada masjid-masjid terpilih selain mengagihkan pek penjagaan diri seperti pelitup muka dan cecair pembasmi kuman kepada komuniti setempat," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan simbolik penyerahan sumbangan 50 kotak makanan dan wang tunai kepada petugas media di Perak yang diwakili Pengerusi Persatuan Pengamal Media Perak (PPMP), Sayed Mohd Hesyam Syed Idris di sini pada Jumaat.

Anuar berkata, kesemua program itu dilakukan berterusan dengan sebahagiannya dilaksanakan secara kerjasama agensi lain dalam usaha memberi sumbangan kembali kepada masyarakat dan golongan sasar yang terkesan.

Katanya, satu daripadanya menerusi inisiatif bersama Yayasan Bina Upaya (YBU) menerusi ‘Kedai Bergerak Negeri Perak’ dengan menyediakan perkhidmatan lori membawa barangan kering dan basah untuk keperluan rakyat yang berada jauh dari kawasan bandar pada harga lebih murah berbanding harga pasaran.

"Dalam menghargai pengorbanan barisan hadapan, MB Inc juga menyumbang kanopi kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) di beberapa lokasi sekatan jalan raya (SJR) seluruh negeri.

"Kita turut menyediakan minuman dan makanan bermasak kepada petugas kawalan sempadan di beberapa lokasi SJR ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), PKP Diperketatkan (PKPD), PKP Pemulihan (PKPP)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, sumbangan kepada petugas media sebagai tanda menghargai pengorbanan kumpulan itu yang turut sama berkhidmat di barisan hadapan sepanjang PKP dikuatkuasakan.

"Sebagai sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC), MB Inc turut cakna dengan situasi semasa pengamal media di negeri ini dan berharap ia dapat membantu mereka terutama menjelang Hari Raya Aidiladha ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!