X

Kindly register in order to view this article
!

Pemberian vaksin perlu diperhebat di Lembah Klang

Kerajaan harus mempercepat dan memperbanyak lagi usaha pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur. (Gambar kecil dari kiri: Madeline, Barjoyai)
A
A

SHAH ALAM – Usaha pemberian vaksin di Selangor dan Kuala Lumpur perlu diperhebat untuk mengurangkan kes Covid-19 di negara ini.

Pakar Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma berkata, kerajaan harus mempercepat dan memperbanyak lagi usaha dengan menggunakan segala aset kerajaan di dua kawasan terbabit.

“Pegawai kesihatan yang kes Covid-19 di negerinya kurang atau tiada seperti Perlis atau Kelantan boleh dipinjamkan ke negeri memerlukan seperti Selangor dan Kuala Lumpur.

“Jika kita lihat seperti di Klang, sistem kesihatannya telah sesak. Ini waktu terbaik untuk negeri-negeri lain membantu dari segi pegawai-pegawai kesihatan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau mengulas kenyataan bahawa sebanyak 12 peratus rakyat Selangor lengkap menerima dua dos vaksin setakat ini.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari melalui hantaran di Twitter berkata, sebanyak 2.3 juta dos vaksin telah diberikan kepada rakyat Selangor menerusi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) iaitu jumlah tertinggi bagi sesebuah negeri di Malaysia.

Mengulas lanjut, Madeline mencadangkan kepada kerajaan supaya menggunakan angka peningkatan jumlah vaksinasi berbanding angka kes Covid-19 dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jika menggunakan kes Covid-19 untuk menentukan PKPD, sampai bila-bila pun sektor ekonomi di Selangor tidak akan dibuka.

“Kes di Selangor meningkat kerana ada usaha untuk melakukan ujian saringan kepada seramai yang boleh, maka peningkatan jumlah kes Covid-19 memang tinggi,” ujarnya.

Seorang lagi Pakar Ekonomi, Profesor Emeritus Dr Barjoyai Bardai daripada Universiti Tun Abdul Razak berpendapat, jumlah 10 peratus rakyat Selangor sudah lengkap dua dos vaksin merupakan satu pencapaian yang baik.

Bagaimanapun, beliau berkata, ini tidak bermakna Selangor telah selamat kerana ia memerlukan masa untuk mewujudkan antibodi daripada vaksin tersebut.

“Vaksinasi perlu diteruskan tetapi tidak akan membantu mengurangkan serta-merta gejala kerana ia memakan masa. Pemberian vaksin adalah perlindungan untuk jangka masa pertengahan dan panjang,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!