Ali Maju kini miliki 18 cawangan di Lembah Klang

Jawahar Ali (dua dari kanan) bersantai bersama rakan-rakannya.
Jawahar Ali (dua dari kanan) bersantai bersama rakan-rakannya.
A
A
A

PENGALAMAN membantu datuk berniaga kedai runcit di Sabak Bernam sejak kecil digunakan sebaiknya oleh pemilik bisnes jenama Ali Maju, Datuk Jawahar Ali Taib Khan untuk memperluaskan empayar perniagaan sendiri di Lembah Klang.

Jawahar Ali berkata, beliau mula berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1994 untuk menimba pengalaman dengan bekerja sebagai pembantu kedai di restoran abang saudaranya ketika berusia 30 tahun.

Selepas tiga tahun, beliau mendapat peluang untuk membuka kafe sendiri di Putrajaya sebelum melangkah setapak demi setapak hingga tertubuhnya 18 cawangan perniagaan restoran, kedai runcit dan kios.

"Dari kecil dibesarkan arwah datuk yang berniaga kedai runcit di kampung, disebabkan itu walaupun telah berhijrah ke Kuala Lumpur, saya bawa konsep kedai runcit dalam perniagaan saya.

"Ketika berhijrah ke Kuala Lumpur, saya sudah mempunyai dua orang anak. Saya bawa wang tunai RM600 dan dengan gaji RM600, saya buat tabungan anak-anak serta berniaga," kongsinya kepada Sinar Harian.

Bapa kepada lima anak itu berkata, selepas beberapa tahun mengusahakan kafe, beliau mula menyewa bangunan di sekitar Wangsa Maju, Kepong dan Rawang untuk mengembangkan cawangan.

"Pada hari ini, konsep saya seboleh mungkin cuba beli bangunan dan buka premis. Ini kerana kos operasi restoran yang lengkap mencecah RM700,000. Kalau premis disewa, selepas tiga tahun kadarnya mungkin naik lebih tinggi dan kos akan membebankan.

"Itu sebab, seboleh mungkin kita cuba berjimat, dengan niat kembangkan bisnes dan elakkan meminjam dengan along.

"Mula dengan berdikit-dikit, secara kecil-kecilan dan kemudian baru kembangkan. Kita bukan turun-temurun kaya, yang penting adalah berdisiplin dan kena turun padang serta kerap dapatkan pandangan daripada para pelanggan," katanya yang berkongsi tip berjaya dalam perniagaan.

Beliau turut memaklumkan telah meninggalkan nombor telefonnya di semua kedai untuk membolehkan pelanggan membuat aduan terus atau berkongsi pandangan untuk menambah baik operasi perniagaannya.

"Selain itu, dengan rezeki yang ALLAH SWT beri, kita jangan lupa keluarkan zakat dan bantu kariah. Jika kita makan empat kali sehari tetapi ada yang tidak makan, tentu kita akan rasa serba salah. Kena ada konsep kalau kita santuni orang, ALLAH SWT akan jaga kita.

"Selalu saya ingatkan jangan berbelanja mewah di luar kemampuan kita, banyak mana pun kita ada duit jangan boros dan amalkan sikap menyimpan. Jika ada rezeki lebih, panjang-panjangkan untuk membantu orang memerlukan," pesannya.

Adat berniaga pasti ada pasang dan surutnya. Begitu juga empayar Ali Maju turut diuji terutama berdepan situasi mencabar ketika penularan pandemik Covid-19.

"Ujian kecil-kecil itu ada tapi ujian yang berat adalah masa musim pandemik sampai simpanan jadi kosong kerana digunakan untuk teruskan perniagaan.

"Walaupun berdepan situasi itu, kita tidak berhutang dengan along dan tidak berhutang juga dengan staf dari segi gaji.

"Mungkin kita terkesan tapi staf lebih rasai kerana perlu tampung keluarga. Susulan itu, tiada seorang pekerja diberhentikan khususnya warga Malaysia," kata beliau.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan pula, beliau berkata, tiada perancangan untuk mengembangkan perniagaan ke luar negara setakat ini.

"Sebelum ni ada tawaran untuk beroperasi di luar negara termasuk London dan Sydney tapi saya mahu menumpukan perniagaan dalam negara dan fokus di Lembah Klang saja.

"Untuk perancangan masa depan, biar anak-anak yang tentukan dan jika perlu bantuan kita sedia membantu," katanya.