X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 16 Mei 2022

Kastam Johor sita arak, rokok seludup bernilai RM220,589

Rokok seludup yang dirampas di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Maju, Batu Pahat pada 7 Julai lalu.
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyita pelbagai jenis arak dan rokok seludup bernilai RM220,589 dalam dua serbuan berasingan di Kuala Lumpur dan Batu Pahat.

Pengarah Kastam Negeri Johor, Sazali Mohamad berkata, serbuan pertama dilakukan pada 1 Julai lalu, kira-kira jam 10 pagi oleh anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Johor.

Menurut beliau, dalam serbuan itu pihaknya merampas sejumlah minuman keras yang dipercayai tidak berkastam di dalam sebuah lori di tepi jalan di hadapan sebuah hotel di Kuala Lumpur.

"Ketika pasukan penguat kuasa mengesan sebuah lori lima tan jenis bonded dalam keadaan mencurigakan, terdapat sebuah kereta jenis Mercedes yang dipercayai tonto turut sama mengekori lori tersebut.

"Bagaimanapun, kereta tersebut bertindak memecut laju meninggalkan lori berkenaan apabila mengetahui kehadiran penguat kuasa," katanya dalam satu kenyataan, pada Rabu.

Sazali berkata, penguat kuasa berjaya memintas lori tersebut ketika pemandunya sedang membuat pusingan U di Jalan Sultan Azlan Shah, Kuala Lumpur.

"Hasil pemeriksaan mendapati lori tersebut membawa 7,382 botol minuman keras pelbagai jenama dipercayai tidak berkastam yang disembunyikan di dalam lori berkenaan.

"Sebanyak 1,420 liter minuman keras telah dirampas melibatkan anggaran nilai sebanyak RM71,089 dan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM174,996.56," katanya.

Tambah beliau, pemandu lori itu yang merupakan seorang lelaki warga tempatan berusia 40 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan.

"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 iaitu kesalahan mengangkut barang-barang tidak berkastam," katanya.

Sementara itu dalam serbuan kedua, Sazali berkata, anggota Bahagian Penguatkuasaan JKDM Sungai Pulai, Johor merampas sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama yang dipercayai tidak berkastam di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Maju, Batu Pahat pada jam 12.30 pagi, 7 Julai lalu.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati sejumlah rokok putih dan kretek pelbagai jenama iaitu 310 karton disembunyikan di tingkat atas, manakala 50 karton lagi disembunyikan di tingkat bawah rumah teres tersebut yang dipercayai tidak berkastam.

"Sebanyak 738,400 batang rokok putih dan kretek telah dirampas yang melibatkan anggaran nilai sebanyak RM149,500 dan jumlah duti dan cukai terlibat sebanyak RM502,304," ujarnya.

Jelas beliau, usaha mengesan pemilik premis sedang giat dijalankan dan kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 iaitu menyimpan barang-barang larangan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!