Kilang ingkar SOP: Polis keluarkan tujuh kompaun bernilai RM90,000

Asisten Kosmioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
Asisten Kosmioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid
A
A
A

PETALING JAYA - Polis mengeluarkan tujuh kompaun berjumlah RM90,000 terhadap beberapa kilang makanan selepas didapati tidak patuh prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dalam serbuan Operasi Patuh Bersepadu di sekitar Petaling Jaya pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Kosmioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya membuat pemeriksaan ke atas 21 premis dalam operasi yang turut disertai Pejabat Kesihatan Daerah Petaling, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Selangor; Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) jam 10 pagi.

Menurut beliau, hasil serbuan pihak polis mengeluarkan tiga kompaun terhadap dua majikan serta seorang pekerja di kilang makanan kerana tidak patuh SOP, manakala tiga kompaun lagi dikeluarkan KKM terhadap majikan kerana tidak mengisytiharkan tahap kesihatan pekerja serta satu kompaun dikeluarkan MBPJ.

"Antara kesalahan yang dikenal pasti dilakukan adalah tidak mengimbas aplikasi MySejahtera atau catatan buku rekod kehadiran, tidak mengimbas suhu di premis, premis beroperasi bukan sektor dibenarkan, premis tidak mempunyai lesen perniagaan serta tidak menjalankan saringan bergejala kesihatan kepada pekerja," katanya.

Mohamad Fakhrudin berkata, sebuah kilang makanan diarahkan tutup selepas pemeriksaan dilakukan mendapati premis berkenaan dalam keadaan kotor selain terdapat najis tikus.

"Selain itu, sebuah pusat rawatan kecantikan turut ditutup selepas didapati tidak mempunyai kebenaran operasi daripada KKM.

"Kami akan melakukan siasatan bagi mengetahui sudah berapa lama pusat rawatan kecantikan berkenaan beroperasi sepanjang tempoh PKPD.

"Pusat itu bukan perkhidmatan penting dan sekiranya premis itu mahu beroperasi, pemilik kena memohon kebenaran daripada KKM," katanya.

Artikel Berkaitan: