LPP rancang wujudkan pasar raya

Mazlan (tengah) sewaktu Hari Bertemu Pelanggan LPP Negeri Johor Bersama KRT Taman Intan 2, Kluang.
Mazlan (tengah) sewaktu Hari Bertemu Pelanggan LPP Negeri Johor Bersama KRT Taman Intan 2, Kluang.
A
A
A

KLUANG - Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) sedang merancang mewujudkan pasar raya yang menempatkan kesemua produk hasil pertanian dan industri asas tani dalam satu bangunan bagi memastikan produk-produk ini dapat dibeli pengguna dengan mudah.

Pengerusinya, Datuk Mazlan Aliman berkata, idea mewujudkan pasar raya telah disebut semasa sesi permukiman (retreat) Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MoA) dua minggu lalu yang turut dihadiri Menterinya, Datuk Salahuddin Ayub.

"Cadangan ini masih di peringkat kajian lagi dan konsep awalnya telah dibincangkan kerana kita tidak mahu produk pertanian berada di kawasan kecil sahaja sedangkan realitinya industri ini mempunyai potensi besar.

"Salah satu lokasi yang telah dikenal pasti adalah di Skudai, Johor kerana kita (LPP) mempunyai tanah lapang seluas 1.2 hektar di kawasan tersebut selain kedudukannya yang strategik kerana berhampiran Singapura dan pemain utama industri yang lain," katanya.

Beliau berkata kepada pemberita selepas merasmikan Hari Bertemu Pelanggan LPP Negeri Johor Bersama Kelab Rukun Tetangga (KRT) Taman Intan 2, semalam.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor, Safidah Abu Samah; Pengerusi Pertubuhan Peladang Negeri Johor (PPNJ), Datuk Ali Shikh Ahmad dan Pengarah LPP Negeri Johor, Abdul Jalil Bukhairah dan ADUN Mahkota, Mohd Said Jonit.

Menurutnya, pasar raya ini juga akan melibatkan kerjasama di antara LPP, Fama dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) selain menyasarkan tempoh kira-kira dua tahun dari sekarang bagi memastikan hasrat berkenaan dapat dicapai.

Pada masa sama, LPP akan mengadakan perbincangan bersama Agro Bank untuk menjadikan bank tersebut sebagai rakan strategik ahli Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi memastikan industri pertanian ini dapat dirancakkan lagi.

Artikel Berkaitan:

"Saya ambil contoh kejayaan PPK Kuala Langat di Selangor yang menjadikan Agro Bank ini rakan strategik mereka sehingga saya difahamkan ahli-ahli Peladang yang mempunyai senarai hitam oleh bank boleh dijamin oleh PPK ini untuk membuat pinjaman.

"Ini bukan satu perkara yang mudah bagi bank, namun disebabkan kejayaan yang ditunjukkan oleh PPK Kuala Langat ini yang memperolehi pendapatan tahunan sebanyak RM34 juta pada tahun lalu membuatkan pihak bank sanggup memberikan pinjaman atau geran kepada pengusaha yang telah disenaraihitamkan," katanya.

Menurutnya, selain itu, beliau turut menyasarkan jumlah ahli Peladang di 279 PPK di seluruh negara dapat ditingkatkan seramai satu juta ahli pada tahun 2020 berbanding kira-kira 920,000 ahli pada tahun ini kerana ramai yang mula melihat bidang pertanian sebagai satu industri yang menguntungkan.

Katanya, LPP juga akan mengadakan penjenamaan semula sistem keahlian secara besar-besaran selepas ini kerana sebelum ini ada kasasan luar bandar seperti Felda dan Felcra tidak disantuni secara aktif walaupun terdapat ahli peladang di kawasan berkenaan.