Long Tiger ditahan kes kurung bekas pekerja

Ayob Khanpada sidang media 'Ops Soga' di Pejabat Kontingen Johor hari ini. - Foto Bernama
Ayob Khanpada sidang media 'Ops Soga' di Pejabat Kontingen Johor hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Seorang lelaki Rohingya yang dikenali sebagai Long Tiger sudah ditahan polis dalam satu serbuan di Muar pada Isnin kerana dipercayai terlibat dalam kes mengurung bekas pekerjanya.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Long Tiger atau nama sebenarnya Abdul Hamim Ab Hamid, 35, ditahan kira-kira jam 9.45 malam.

"Kita mendapat maklumat suspek terlibat dalam kes mengurung seorang lelaki berusia 21 tahun yang juga bekas pekerjanya.

"Dia direman selama empat hari, bermula 13 Julai lalu dan kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 342 Kanun Keseksaan," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor pada Rabu.

Sementara itu, dalam perkembangan lain, Ayob Khan berkata, kertas siasatan berhubung kenduri durian di sebuah kebun di Batu Pahat yang melibatkan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Rashid Hasnon sudah diserahkan kepada Pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut.

Video berdurasi 13 saat yang memaparkan Ahli Parlimen Batu Pahat itu baru-baru ini tular di media sosial kerana menghadiri satu kenduri durian di sebuah dusun di Batu Pahat.

Kejadian itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat negara ini dan mereka meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap ahli politik berkenaan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kenduri' durian: Polis ambil keterangan Timbalan Speaker, 14 individu lain

Artikel Berkaitan:

'Kenduri' durian: Ahli Parlimen mohon maaf, akui keliru