DBP pertingkat perkhidmatan digital interaktif

Bangunan DBP yang terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
Bangunan DBP yang terletak di Jalan Dewan Bahasa, Kuala Lumpur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) kini dalam usaha menyediakan lebih banyak perkhidmatan dan bahan penerbitan secara digital yang lebih interaktif sebagai usaha berterusan untuk memartabatkan Bahasa Melayu, kata Ketua Pengarah DBP, Datuk Abang Sallehuddin Abg Shokeran.

Beliau berkata, seiring dengan kemajuan bidang teknologi digital dan penggunaannya yang meluas khususnya dalam kalangan generasi muda, institusi itu perlu berevolusi agar semua perkhidmatannya dapat diberikan mengikut keperluan semasa rakyat.

Jelasnya, langkah itu turut bertepatan dengan situasi ketika ini yang menuntut lebih banyak perkhidmatan dilakukan secara dalam talian, berikutan pandemik Covid-19 yang melanda dunia.

“DBP tidak mahu menyediakan hanya bahan bacaan dan penerbitan yang berformatkan PDF (portable document format) semata-mata tetapi kita mahu ia lebih interaktif.

“Misalnya bahan bacaan kanak-kanak, selain perkataan kita boleh sertakan dengan animasi, bunyi dan visual yang menjadikan proses pembacaan lebih menarik sekali gus meningkatkan semula budaya membaca walaupun menerusi peranti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan secara maya dalam program Ruang Bicara terbitan Bernama TV yang membincangkan tajuk 'Dekad Bahasa Kebangsaan Dalam Kepesatan Dunia Digital' pada Isnin malam.

Bagi mendepani cabaran itu, Abang Sallehuddin berkata, DBP juga sedang giat melatih semua petugas dan pegawainya dalam kemahiran teknologi digital agar perkhidmatan dan bahan penerbitan dalam talian yang berkualiti dapat diberikan.

"Beberapa program dalam talian seperti seminar bahasa yang dianjurkan DBP mendapat sambutan amat baik, sekali gus menjadi panduan kepada DBP dalam proses pendigitalan perkhidmatan.

Artikel Berkaitan:

“Penyertaan (dalam talian) amat baik berbanding seminar secara konvensional atau bersemuka sebelum ini dan kita akan memperbanyakkan program seumpama itu selain fokus meningkatkan jumlah penerbitan digital selepas ini,” katanya. - Bernama