APM sumbang motosikal bantu lima beradik

Nurfarra (kanan) menerima sumbangan motosikal daripada Pegawai Pertahanan Awam Pendang, Leftenan (PA) Shafaril Ismail sambil disaksikan Roslan (dua kiri) di Pejabat APM daerah Padang Terap.
Nurfarra (kanan) menerima sumbangan motosikal daripada Pegawai Pertahanan Awam Pendang, Leftenan (PA) Shafaril Ismail sambil disaksikan Roslan (dua kiri) di Pejabat APM daerah Padang Terap.
A
A
A

KUALA NERANG - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) menyumbang sebuah motosikal bagi membantu lima beradik di Kampung Pasir Puteh, Tualak yang hilang tempat bergantung selepas kematian ibu mereka 24 Jun lalu akibat kemalangan jalan raya.

Motosikal berkenaan diserahkan kepada Nurfarra Asyikin Norazmi, 20, yang juga anggota APM daerah Padang Terap.

Nurfarra sebelum ini terpaksa meminjam motosikal saudara terdekat untuk kegunaan harian kerana motosikal yang ditunggang arwah ibunya Norhashimah Abdul Majid, 43, rosak dalam kemalangan pada April lalu.

"Sampai bila kami perlu meminjam motosikal sedangkan mereka juga mempunyai urusan untuk diselesaikan. Saya mewakili keluarga mengucapkan jutaan terima kasih kepada APM kerana menyumbang motosikal baharu ini.

"Sumbangan ini memudahkan pergerakan kami sekeluarga dan membantu saya berulang-alik ke tempat kerja dari rumah kira-kira 15 kilometer," katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan tersebut pada Sabtu.

Sumbangan motosikal jenis Honda Wave tersebut disampaikan oleh Ketua Pesuruhjaya Pertahanan Awam Malaysia, Datuk Roslan Wahab di Pejabat APM daerah Padang Terap.

Sementara itu, Roslan berkata, kenderaan tersebut merupakan sumbangan kumpulan Pegawai Kehormat Bersekutu APM bagi membantu Nurfarra sekeluarga selepas hilang tempat bergantung.

Menurutnya, APM juga akan membantu adik lelaki Nurfarra, Mohd Afiq Ridzuan,18, untuk belajar di pusat kemahiran terdekat demi masa hadapannya.

Artikel Berkaitan:

Pada 25 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan, seorang wanita berusia 20 tahun kini menggalas tugas sebagai ketua keluarga menjaga adik-adiknya iaitu Mohd Hafiq Ridzuan, 18, Nur Anis Amira, 15, Nuraina Amalyna, 12, dan Nurshafinas Fareha, 4 selepas kematian ibu mereka.