Bakal Presiden UMNO telah ditunjuk

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

ADA sesuatu yang menarik mengenai pelantikan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) yang baharu.

Beliau baru saja ditunjuk sebagai bakal calon Presiden UMNO, 18 bulan dari sekarang.

Sebelum kita pergi jauh ke hadapan untuk menjelaskan perihal perkara ini, adalah penting untuk dinyatakan di sini, bersama jawatan TPM, datang gelaran yang mana di Malaysia cuma ada empat kategori manusia yang dibenar memakainya. Nama gelaran istimewa itu ialah Yang Amat Berhormat (YAB).

Mereka yang diberi keistimewaan untuk memakai gelaran itu ialah Perdana Menteri (PM), TPM, Menteri Besar dan Ketua Menteri. Yang lain semua sekadar bergelar Yang Berhormat (YB) sahaja.

Walaupun secara undang-undang, jawatan TPM tidak disebut dalam Perlembagaan Persekutuan, tetapi secara konvensyen, ia adalah amalan tradisi dalam sistem pentadbiran negara.

Jawatan ini diwujudkan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj khusus untuk Tun Abdul Razak Hussein bagi memberikan ‘keabsahan’ kepadanya dalam membantu PM menjalankan urusan tadbiran negara.

Oleh kerana jawatan TPM tidak disebut dalam perlembagaan maka atas sebab itulah juga mengapa seorang TPM perlu menyandang satu jawatan dalam kabinet bagi melayakkannya menjadi anggota jemaah menteri.

Dengan itu juga, beliau boleh menghadiri mesyuarat mingguan jemaah menteri.

Artikel Berkaitan:

Tanpa memegang apa-apa jawatan sebagai anggota kabinet kerajaan Malaysia, seorang TPM tidak layak menghadiri mesyuarat mingguan kabinet.

Selepas Tun Razak menerajui kerajaan Malaysia, beliau pun meneruskan tradisi yang dimulakan oleh Tunku dengan melantik Tun Hussein Onn sebagai TPM.

Tun Hussein kemudian turut menyambung legasi tersebut dengan melantik Dr Mahathir Mohamad sebagai TPM dan, Dr Mahathir pula melantik Tun Musa Hitam sebagai TPM.

Oleh kerana Dr Mahathir memimpin Malaysia selama lebih 22 tahun, pada era beliau, ramai yang bersilih ganti mengambil tempat sebagai TPM – antaranya, Tun Ghafar Baba, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Abdullah pun kemudiannya meneruskan tradisi itu apabila beliau menjadi Perdana Menteri dengan melantik Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai TPM dan apabila Najib naik beliau pula melantik Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai TPM dan selepas itu Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Apabila Dr Mahathir kembali sebagai Perdana Menteri untuk kali yang kedua, beliau sekali lagi meneruskan tradisi itu dengan melantik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai TPM.

Hanya apabila Muhyiddin muncul sebagai Perdana Menteri kelapan tahun lalu, beliau menjadi PM yang pertama tidak melantik TPM sehinggalah situasi politik menjadi kalut dan akhirnya minggu lalu beliau membuat keputusan untuk mengembalikan jawatan TPM dengan melantik Ismail Sabri Yaakob.

Maka akhirnya kita semua dapat menyaksikan kemunculan semula penyandang kerusi TPM.

Jadi apakah kelebihan Ismail sebagai TPM? Banyak. Dengan jawatan tersebut beliau sebenarnya telah ditunjukkan sebagai pemimpin masa depan partinya sendiri.

Ini sekali gus membuka laluan kepada beliau mengorak langkah sebagai calon utama Presiden UMNO 18 bulan dari sekarang.

Adalah tidak masuk akal seorang politikus yang sudah diberikan keistimewaan ini tidak mahu masuk gelanggang bila tiba masanya.

Dengan kelebihan yang beliau ada sebagai YAB TPM, beliau boleh dengan mudah meyakinkan bahagian-bahagian UMNO bahawa inilah dia bakal presiden kalian semua.

Orang Melayu amat menghormati institusi gelaran dan jawatan. Apa yang perlu beliau lakukan ialah mengelak daripada melakukan kesilapan, sebaliknya menonjolkan kelebihan dan kematangan beliau sebagai pemimpin masa depan UMNO.

Dan ini bukanlah sesuatu yang baharu baginya. Sejarah Ismail Sabri dalam UMNO menunjukkan beliau telah melalui proses perkilangan dan perkaderan parti menerusi sayap pemuda, bahagian, negeri dan nasional.

Kini dengan kedudukan beliau sebagai Naib Presiden paling kanan, tidak syak lagi, jawatan TPM telah membuka lorongan yang natural untuknya muncul sebagai calon Presiden UMNO paling sesuai.

Tinggal lagi satu sahaja pesanan – jangan buat silap sepanjang tempoh 18 bulan ini sudah!

Mengambil kira pilihan raya umum tidak akan berlaku dalam tempoh tersebut maka tidak keterlaluan jika diandaikan yang beliau juga bakal ditonjolkan sebagai calon Perdana Menteri UMNO sewaktu Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti – dengan syarat beliau terlebih dahulu memenangi kerusi Presiden UMNO.

* Rozaid Rahman ialah Ketua Pengarang Kumpulan dan Ketua Pegawai Pengisian Sinar Harian.