'Tindakan kerajaan Pahang jadi tanda aras baharu'

Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Ahad.
Tangkap layar hantaran di Facebook Asyraf Wajdi pada Ahad.
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan tegas kerajaan negeri Pahang terhadap isu berkaitan penerokaan haram di Hutan Simpan Kekal (HSK), Batu Talam, Raub, Pahang merupakan tanda aras baharu dalam penguatkuasaan undang-undang dan pentadbiran serta pengurusan sumber alam.

Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, tindakan meneroka tanpa izin lebih-lebih lagi di kawasan yang digazetkan oleh kerajaan negeri wajar dikenakan tindakan segera supaya operasi haram itu dapat dihentikan dan penceroboh didakwa di mahkamah.

Beliau berkata, Pemuda UMNO menyokong sepenuhnya ketegasan yang ditunjukkan oleh Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam isu tersebut.

“Syabas kepada anggota penguatkuasaan yang tidak berganjak dan tegas dalam tugasan mereka seperti yang tular di media sosial.

“Tuntasnya, Pemuda UMNO Malaysia juga berharap tindakan tegas kerajaan negeri Pahang ini juga menjadi tanda aras baharu penguatkuasaan undang-undang dalam pentadbiran dan pengurusan sumber alam negeri seperti tanah, hutan simpan dan air negeri.

“Selain itu, tindakan ini juga menjadi manifestasi kesungguhan komitmen kerajaan negeri Pahang yang dipimpin oleh UMNO dan Barisan Nasional (BN) mengangkat ‘Rule of Law’ sebaiknya,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Ahad.

Pada 4 Julai lalu, Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memulakan operasi memusnahkan kebun haram durian musang king yang dianggarkan seluas 101 hektar di dalam HSK yang terletak di daerah Raub itu.

Operasi tersebut telah menimbulkan kekecohan selepas beberapa pekebun haram di kawasan tersebut melakukan provokasi dan halangan terhadap penguat kuasa yang menjalankan tugas.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, keadaan kembali tenang dan terkawal selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang ditempatkan di tempat kejadian bagi mengawal operasi berkenaan.

Sementara itu, Wan Rosdy pada Ahad dilaporkan berkata, keputusan kerajaan negeri Pahang menebang pokok durian musang king yang ditanam secara haram dalam kawasan itu adalah kerana mengambil kira status kawasan itu sebagai HSK.

Mengenai dakwaan yang mengatakan kononnya operasi penguatkuasaan itu melanggar perintah Mahkamah Rayuan, beliau dalam kenyataan lain menafikan perkara tersebut dan memaklumkan operasi itu dilakukan di luar kawasan kebun durian yang dimiliki oleh Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Asyraf Wajdi turut melahirkan kekecewaan pihaknya terhadap sikap oportunis beberapa ahli politik khususnya daripada parti DAP yang dilihat cuba memainkan sentimen perkauman sempit demi meraih sokongan politik.

“Malahan golongan ini tidak malu dan berani menekan pihak berkuasa daripada menjalankan tugas menguatkuasakan undang-undang,” ujarnya.