PPV di Kelantan mampu suntik 30,000 dos vaksin sehari: Dr Zaini

Zaini Hussin
Zaini Hussin
A
A
A

TUMPAT - Kapasiti suntikan vaksin Covid-19 di Kelantan boleh ditingkatkan daripada 15,000 dos sehari ketika ini kepada 30,000 dos sehari apabila negeri itu dijangka menerima lebih 400,000 dos vaksin bulan ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Dr Zaini Hussin berkata, enam jenis pusat pemberian vaksin (PPV) di seluruh negeri memiliki kemampuan mengurus proses vaksinasi tersebut.

Beliau berkata, ia merangkumi 18 PPV awam, 10 PPV hospital termasuk Hospital Universiti Sains Malaysia, dua PPV hospital swasta dan lebih 20 PPV Pengamal Perubatan Am Swasta.

"Selepas digabung, semua PPV ini mampu memberi 30,000 suntikan dos vaksin sehari apabila Kelantan terima 438,000 dos vaksin bulan ini yang akan dihantar secara berperingkat setiap minggu," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau Program Outreach Vaksinasi di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Falahiah, Pasir Pekan di sini pada Ahad.

Sementara itu, Dr Zaini berkata, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) telah bersetuju untuk membantu memudahkan program vaksinasi di pedalaman Kelantan dengan menyediakan kemudahan helikopter.

"JBPM telah bersetuju membantu JKNK untuk melaksanakan program vaksinasi di pedalaman negeri ini untuk pergi ke kawasan yang sukar untuk diakses kenderaan darat. JKNK telah menyediakan jadual program yang akan dilaksanakan, dijangka pertengahan bulan ini atau awal Ogos," katanya.

Pada 17 Jun lepas, Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, kerajaan bakal membekalkan vaksin berdos tunggal Covid-19 jenis CanSino kepada Kelantan, mulai bulan ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, suntikan vaksin berkenaan akan diutamakan kepada penduduk di kawasan pedalaman termasuk di penempatan orang asli. - Bernama