Malaysia perkenal banggol melon

Che Abdullah (kanan) bersama penanam, Mohd Noor Hassan melihat pokok banggol melon yang baru berbuah sambil diperhatikan Hanifa (kiri) di Kampung Banggol, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad. - Foto Sinar Harian

A
A
A

KOTA BHARU - Malaysia buat pertama kalinya memperkenalkan tanaman banggol melon menerusi Projek Bersepadu Pertanian Banggol, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa, di sini.

Usaha semaian benih jenis hibrid dari Taiwan tersebut dilakukan di tanah seluas 24 hektar di Kampung Banggol, Pengkalan Chepa.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, nama banggol melon diberikan sempena lokasi penanaman buah melon itu di kawasan Kampung Banggol berkenaan.

Katanya, kerja penanaman dilakukan oleh 32 peserta projek memasuki musim kedua bermula 5 Julai lalu dan akan memakan masa selama 60 hari untuk menuai hasil.

“Banggol melon diambil sempena nama tempatan dan mempunyai kualiti terbaik dengan kemanisan yang mencapai 15 peratus brix.

“Teksturnya menyerupai tembikai susu tetapi kulit dan isinya berwarna jingga selain baunya yang sangat harum,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja di tapak Projek Bersepadu Pertanian Banggol, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa di sini pada Ahad.

Che Abdullah (tiga dari kanan) bersama Hanifa (dua dari kanan) melawat tapak Projek Bersepadu Pertanian Banggol, Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengkalan Chepa seluas 24 hektar di Kampung Banggol, Pengkalan Chepa, Kota Bharu pada Ahad. - Foto Sinar Harian

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Hanifa Awang Su.

Artikel Berkaitan:

Che Abdullah turut menyampaikan sumbangan MAFI Prihatin kepada 32 pengusaha projek berkenaan.

Che Abdullah berkata, harga jualan banggol melon boleh mencecah sehingga RM2 sekilogram selain penanam juga memperoleh pendapatan melalui hasil tanaman tembikai jenis merah boci, apollo dan jack dew.

“Setiap peserta mengusahakan 0.9 hektar yang memberi pulangan hasil lumayan dianggarkan sehingga RM20,000 dengan 20 metrik tan buah pada setiap musim bagi setiap penanam.

“Secara purata hasil tembikai tiga musim setiap tahun sebanyak 960 metrik tan dengan anggaran pendapatan sebanyak RM1.44 juta setahun.

“Penanam dibantu oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk memasarkan hasil pertanian mereka atau mereka boleh pasarkan sendiri mengikut kemampuan dan kesesuaian,” katanya.