Keputusan NFA kes rasuah Ahmad Zahid teliti, bukan sewenang-wenang - Peguam Negara

Laporan Sinar Harian mengenai AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.
Laporan Sinar Harian mengenai AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan untuk mengklasifikasikan kes rasuah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melibatkan dana Yayasan Akalbudi sebagai tiada tindakan lanjut (NFA) dibuat hanya selepas pihak pendakwaan mengkaji dengan teliti enam representasi yang dikemukakan oleh Presiden UMNO itu.

Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar menegaskan, keputusan oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) itu tidak dibuat secara 'suka-suka' dan jabatan itu tidak akan memberikan ‘No Further Action’ (NFA) tanpa penilaian menyeluruh terhadap fakta, bukti dan merit undang-undang sesuatu kes.

"Ada isu fakta dan undang-undang yang dibangkitkan peguam mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid. Kita semak balik dan mendapati perlu ada siasatan lanjut yang akhirnya membawa kepada keputusan NFA.

Mohd Dusuki
Mohd Dusuki

"Pembebasan (Ahmad Zahid) adalah mutlak kerana kita menggunakan kuasa di bawah Fasal 145 Perlembagaan Persekutuan. Apabila kita tutup kes dan nyatakan secara muktamad, itu sahaja - tiada tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembukaan Tahun Perundangan 2026 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di sini pada Isnin.

Pada 8 Januari lepas, AGC memutuskan tiada tindakan lanjut terhadap 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi yang dihadapi Ahmad Zahid, selepas meneliti keseluruhan bahan dan keterangan baharu.

AGC dalam kenyataan memaklumkan, siasatan lanjut dan terperinci telah dijalankan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) termasuk aspek sumber dana, kaedah perolehan dan penggunaan dana berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam ucapannya, Mohd Dusuki turut menekankan, sumbangan penting AGC melalui pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.

"Pada 10 September 2025, Kabinet bersetuju menerima model pemisahan penuh dengan kedua-dua jawatan dipegang oleh individu berbeza dan setara. Kabinet juga meluluskan pembentangan RUU Pindaan Perlembagaan Persekutuan pada sesi Parlimen 2026.

"Bagi melaksanakan keputusan Kabinet, AGC telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Kerja dan beberapa sub-jawatankuasa yang ditubuhkan sejak 2018 untuk memperhalusi cadangan terperinci mengenai struktur organisasi, staf, logistik, kewangan dan strategi pelaksanaan berperingkat,” katanya. - Bernama

Ringkasan AI

  • Keputusan NFA pada kes rasuah Ahmad Zahid dibuat selepas kajian teliti pendakwaan terhadap representasi yang dikemukakan
  • Peguam Negara menegaskan keputusan tersebut bukan dibuat suka-suka tanpa penilaian menyeluruh
  • Ada isu fakta dan undang-undang yang dibangkitkan mewakili Ahmad Zahid yang memerlukan siasatan lanjut
  • Pembebasan Ahmad Zahid dilakukan menggunakan kuasa di bawah Fasal 145 Perlembagaan Persekutuan
  • AGC memutuskan NFA setelah SPRM menjalankan siasatan lanjut dan terperinci termasuk aspek sumber dana Yayasan Akalbudi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!