Pendidikan kekal keutamaan negara - PM

PUTRAJAYA – Pendidikan akan terus menjadi keutamaan negara dalam memastikan pembinaan generasi masa depan yang berilmu, berakhlak dan berdaya tahan, selari dengan aspirasi Malaysia Madani.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa kejayaan sistem pendidikan tidak hanya bergantung kepada dasar serta peruntukan kerajaan, sebaliknya menuntut kerjasama erat antara kerajaan, ibu bapa dan warga pendidik.
Menurutnya, hubungan erat antara semua pihak penting bagi memastikan anak-anak menerima dukungan yang menyeluruh, sama ada di sekolah mahupun di rumah.
"Dengan memastikan pendidikan yang berkualiti, berteraskan nilai dan kemanusiaan, kita lantas meyakini mampu untuk melahirkan generasi yang berilmu, berakhlak serta mampu menongkah arus cabaran dengan semangat dan keyakinan," katanya menerusi hantaran di lamam Facebook pada Isnin.

Terdahulu, Anwar dan isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail meluangkan masa berkunjung ke Sekolah Kebangsaan (SK) Sg Besi, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kwong Hon dan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Sg Besi bagi memantau pengedaran Bantuan Awal Persekolahan (BAP) selain menyantuni pelajar yang memulakan sesi persekolahan pada hari pertama.
"Melihat keterujaan dan wajah mereka mengingatkan kita bahawa setiap anak tidak hanya menggendong harapan menggunung ibu bapa tetapi turut memikul keyakinan para guru dan cita besar masa depan negara.
"Sekolah, selain tempat menimba ilmu, adalah ruang awal dalam pembentukan sahsiah, disiplin dan jati diri," katanya.
Ringkasan AI
- Pendidikan menjadi keutamaan negara untuk generasi masa depan yang berilmu dan berakhlak
- Perdana Menteri menekankan kerjasama antara kerajaan, ibu bapa, dan warga pendidik penting untuk kejayaan sistem pendidikan
- Hubungan erat antara semua pihak penting bagi dukungan menyeluruh kepada anak-anak
- Pendidikan berkualiti dan nilai kemanusiaan penting untuk melahirkan generasi yang mampu menghadapi cabaran
- Anwar Ibrahim dan isteri berkunjung ke beberapa sekolah untuk memantau Bantuan Awal Persekolahan dan menyantuni pelajar
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

