OKP dipenjara enam bulan, satu sebatan
TUMPAT -Tindakan melanggar syarat pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), seorang Orang Kena Pengawasan (OKP) dijatuhi hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan oleh Mahkamah Majistret Tumpat di sini, hari ini.
Lelaki berusia 30 tahun itu didapati gagal hadir ke balai polis dan pejabat AADK Tumpat serta tidak menghadiri program pemulihan dalam tempoh pengawasannya sejak tahun lalu.
Ketua Pegawai AADK Tumpat, Siti Morni Mustafa berkata, OKP itu ditahan semalam di rumahnya di Kampung Bunut Sarang Burung.
"Akibat memandang remeh dan tidak mengambil berat perintah pengawasan, suspek yang dikategorikan OKP dipenjarakan," katanya.
Katanya, OKP tersebut ditahan mengikut Seksyen 6(1)(a-f) Akta Penagih Dadah (rawatan dan pemulihan) atas kesalahan gagal melaporkan diri.
Mahkàmah Majistret Tumpat hari ini menjatuhkan hukuman penjara enam bulan dan satu sebatan.
Hukuman dijatuhkan Majistret Mohd Dinie Shazwan Ab Shukor.
Pendakwaan kes dilakukan oleh Pendakwa AADK, Mohd Rusdi Mahmood manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sementara itu, dalam kes berasingan, 4 lelaki antara 7 penagih turut didakwa mengikut Seksyen 6(1)(a) Akta penagih Dadah (Rawatan dan pemulihan) 1983.
Siti Morni berkata, pendakwaan itu dilakukan selepas menjalankan ujian air kencing dan didapati lelaki terbabit positif dadah.
Katanya, kesemua tertuduh perlu menjalani rawatan dan pemulihan di Pusat Pemulihan Jeli, Kelantan.
"Selebihnya didakwa di bawah Akta Seksyen 6(1)(b) Akta penagih Dadah (Rawatan dan pemulihan) 1983, iaitu perintah pengawasan dalam komuniti.
" Semua OKP disabitkan penagih perlu menjalani pengawasan selama dua tahun di AADK Daerah Tumpat dan AADK Kota Bharu, manakala yang menjalani pemulihan di pusat pemulihan perlu melapor diri di AADK Tumpat dan Kota Bharu selepas bebas daripada pusat pemulihan," katanya.