Bapa 10 anak dipenjara 11 tahun, 24 sebatan

Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis memerintahkan seorang bapa menjalani hukuman penjara 11 tahun atas 25 kesalahan menipu dan salah guna harta melibatkan kerugian hampir RM200,000. - Gambar hiasan.
Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada Khamis memerintahkan seorang bapa menjalani hukuman penjara 11 tahun atas 25 kesalahan menipu dan salah guna harta melibatkan kerugian hampir RM200,000. - Gambar hiasan.
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan pada Khamis memerintahkan seorang bapa 10 anak menjalani hukuman penjara 11 tahun bermula dari tempoh tahanan reman, atas 25 kesalahan menipu dan salah guna harta melibatkan kerugian hampir RM200,000.

Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk P Ravinthran sebulat suara memerintahkan Azmi Mat Hussin, 51, menjalani hukuman penjara bermula 15 November 2018 dengan mengambil kira tempoh remannya selama setahun dan 13 hari, sekali gus mengurangkan tempoh pemenjaraan yang sedang dijalaninya.

"Rayuan atas hukuman dibenarkan untuk sebahagian, tarikh dalam perintah berkenaan dua kes kini dibacakan sebagai 27 November 2019 dipinda kepada 15 November 2018, iaitu tarikh reman.

"Kesannya perayu akan menjalani hukuman penjara keseluruhannya 11 tahun yang kini bermula 15 November 2018,” kata Hakim Ravinthran yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk Azman Abdullah.

Hakim Ravinthran turut mengurangkan jumlah sebatan yang diterima tertuduh daripada 25 sebatan ke 24 sebatan, mengikut Seksyen 288(5) Kanun Tatacara Jenayah (CPC), yang menyatakan 24 sebatan adalah jumlah maksimum sebatan yang dibenarkan mengikut kanun tersebut.

"Memandangkan kesalahan jenayah yang dilakukan jenayah komersial di bawah Seksyen 403 dan 420 Kanun Keseksaan, mengikut Seksyen 288(4) CPC, sebatan yang akan dikenakan ialah dengan cara disiplin sekolah iaitu menggunakan rotan halus,” katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud manakala tertuduh diwakili peguam Izleen Ismail dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan.

Pada 27 November 2019, Mahkamah Majistret Shah Alam menjatuhkan hukuman penjara 11 tahun dan 25 sebatan, selepas Azmi mengaku bersalah atas 25 kesalahan menipu dan salah guna harta serta memerintahkannya menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh sabitan (27 November 2019).

Lelaki itu kemudian merayu terhadap hukuman tersebut, namun pada 20 Ogos 2021, Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya, dan mengekalkan hukuman berkenaan.

Azmi didakwa atas 22 pertuduhan menipu tiga individu dengan menawarkan telefon bimbit, kereta dan motosikal yang tidak wujud dan lebih rendah daripada harga pasaran, sehingga mendorong mangsa memasukkan wang berjumlah RM187,700 ke dalam akaun banknya di sekitar Shah Alam, Sungai Buloh dan Kuala Lumpur pada November dan Disember 2017, mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dia turut berdepan tiga tuduhan menyalahgunakan harta curi iaitu wang berjumlah RM12,000 milik seorang wanita, sebagai bayaran mendapatkan sebuah motosikal di sebuah bank di Melaka antara 13 dan 27 Disember 2017 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan. - Bernama